Oleh Dawn Holford, University of Bristol, UK; Linda Karlsson, University of Turku, Finland; Frederike Taubert, Erfurt University, Germany; Emma C. Anderson, University of Bristol, UK; Virginia C. Gould, University of Bristol, UK
Membetulkan salah faham tentang vaksin
Vaksinasi ialah salah satu alat kesihatan awam yang paling berjaya—dianggarkan menyelamatkan 6 nyawa setiap minit. Namun, vaksin juga sering menghadapi tentangan dari orang ramai, dengan maklumat palsu yang berterusan menjejaskan kepercayaan mereka dan memberi cabaran kepada petugas kesihatan yang terlibat dalam tugasan vaksinasi. Bagaimanakah petugas kesihatan dapat mengikuti arus naratif palsu yang begitu cepat tersebar? Apa yang boleh mereka katakan kepada pesakit yang menggunakan naratif ini sebagai alasan untuk tidak mengambil vaksin untuk diri sendiri atau anak-anak mereka?
Walaupun memberi fakta mungkin kelihatan sebagai tindak balas terbaik, membetulkan salah faham—yang sering disebarkan melalui disinformasi—tidak semudah berkongsi maklumat yang betul. Contohnya ialah mitos lama tentang vaksin dan autisme: walaupun kajian selama beberapa dekad membuktikan tiada kaitan, petugas kesihatan masih mendengar kebimbangan ini daripada ibu bapa. Mitos seperti ini “melekat” kerana ia bermain pada ketakutan asas manusia, menggunakan naratif yang kelihatan intuitif pada pandangan pertama. Ia juga boleh dimanipulasi oleh pihak berkepentingan untuk tujuan politik supaya terus tersebar dalam masyarakat.
Jadi, apakah yang boleh dikatakan petugas kesihatan kepada seseorang yang mempunyai tanggapan yang salah tentang vaksin? Ia bermula dengan memahami apa yang mendorong kepercayaan seseorang. Bayangkan dua ibu bapa—Tina dan Sam. Kedua-duanya bimbang sistem imun anak mereka tidak mampu menangani semua vaksin yang disyorkan. Ini adalah satu lagi tanggapan yang salah: hakikatnya, jumlah antigen dalam vaksin hanyalah sebahagian kecil berbanding penyakit sebenar. Bagi Sam, kebimbangan itu didorong oleh ketakutannya terhadap kesan buruk yang mungkin dicetuskan oleh setiap vaksin. Bagi Tina, kebimbangan itu didorong oleh keutamaannya untuk anaknya mempunyai daya tahan “semula jadi” yang kuat terhadap penyakit
Kebimbangan mendalam ini dipanggil “akar sikap” (attitude roots), dan ia boleh menyebabkan seseorang berpegang kepada tanggapan mereka walaupun telah diberi penjelasan tentang fakta yang betul
Selalunya, kita mempunyai dorongan semula jadi untuk membetulkan secara langsung salah tanggapan yang kita dengar daripada orang lain.
. Namun, kajian menunjukkan bahawa apabila kita mengesahkan dahulu akar sikap seseorang, mereka lebih mudah menerima pembetulan mitos vaksin, yang boleh meningkatkan penerimaan mereka terhadap vaksin. Untuk Tom, kita boleh mulakan dengan meyakinkan bahawa adalah normal untuk mahu melindungi anaknya. Untuk Tina, kita boleh mengakui bahawa mengelakkan ubat yang tidak perlu adalah sesuatu yang baik. Selepas membina hubungan dan kepercayaan, barulah kita membetulkan tanggapan salah mereka dan berkongsi maklumat lanjut tentang vaksin.
Bagaimana kita boleh mempersiapkan petugas kesihatan untuk perbualan tentang vaksin?
Cara terbaik untuk menangani salah tanggapan vaksin ialah melalui pendekatan dialog yang disesuaikan. Apabila seseorang dapat berbincang dengan petugas kesihatan yang mereka percayai, ia sangat berkesan meningkatkan kadar pengambilan vaksin. Salah satu pendekatan tersebut ialah Empat Langkah Temu Bual Refutasi Empati (Empathetic Refutational Interview)—rangka kerja empat langkah untuk membina kepercayaan dan membetulkan salah tanggapan dengan menghormati akar sikap individu itu. Ia dibangunkan oleh projek JITSUVAX, menggunakan pendekatan berasaskan dialog, seperti Temu Bual Bermotivasi (Motivational Interviewing).
Namun, berdialog secara hormat tentang vaksinansi tidak selalunya mudah. Petugas kesihatan bimbang perbualan boleh menimbulkan konflik. Ramai petugas kesihatan tidak menerima latihan khusus untuk menyediakan mereka untuk perbualan sedemikian. Kebanyakan latihan yang ada hanya menekankan penyampaian fakta kepada pesakit—yang boleh menjadi tidak berkesan atau kontraproduktif. Dalam projek JITSUVAX, ramai petugas kesihatan menyatakan keperluan untuk strategi dan sokongan yang lebih khusus dalam menghadapi pesakit yang ragu-ragu tentang vaksin.
Projek JITSUVAX telah membangunkan alat untuk menyokong petugas kesihatan menggunakan Temu Bual Refutasi Empati dalam perbualan mengenai vaksin:
- Sumber web untuk memahami 11 akar sikap yang mendorong salah tanggapan vaksin.
- Panduan menggunakan Empat Langkah Temu Bual Refutasi Empati.
- Latihan untuk petugas kesihatan dalam Temu Bual Refutasi Empati.
Kami telah menjalankan bengkel bersama petugas kesihatan di negara-negara seluruh Eropah, dan mereka melaporkan peningkatan yang ketara dan berkekalan dalam kemahiran serta keyakinan mereka untuk mengendalikan perbualan mengenai vaksin selepas menghadiri latihan tersebut. Di Romania, petugas kesihatan yang dilatih dalam Temu Bual Refutasi Empati dan Temu Bual Bermotivasi menunjukkan peningkatan yang lebih besar dalam jumlah janji temu vaksinasi yang ditempah selepas sesi konsultasi mereka, berbanding petugas kesihatan yang tidak menerima latihan.
Pengalaman kami mencerminkan dapatan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization – WHO), yang menunjukkan bahawa latihan kemahiran komunikasi untuk petugas kesihatan membantu meningkatkan keyakinan mereka dalam menjalankan perbualan tentang vaksin dan merupakan satu pelaburan yang sangat berbaloi.
Cadangan praktikal
Untuk pengamal kesihatan:
- Sebagai petugas kesihatan, anda berada di kedudukan yang unik dan dipercayai dalam memberikan nasihat perubatan. Sedarilah bahawa perbualan anda boleh menjadi faktor utama yang mempengaruhi keputusan pesakit tentang vaksin.
- Memahami ‘akar sikap’ pesakit anda boleh membantu dalam perbualan. Anda boleh menganggapnya seperti membuat diagnosis situasi untuk mengetahui cara terbaik menangani kebimbangan pesakit. Antara teknik yang boleh membantu langkah diagnostik ini termasuklah bertanya soalan terbuka (contohnya, ‘Maklumat apa yang boleh menyokong keputusan anda?’) berbanding soalan tertutup (seperti ‘Bolehkah saya berkongsi sedikit maklumat?’), serta mengamalkan pendengaran aktif dengan memberi refleksi terhadap apa yang diperkatakan oleh pesakit.
- Terdapat cara yang berkesan dan berasaskan bukti untuk membetulkan mitos mengenai vaksin sambil mengekalkan hubungan baik dengan pesakit. Dapatkan latihan dalam teknik-teknik ini untuk meningkatkan keyakinan dan kemahiran anda dalam mengendalikan perbualan tentang vaksin.
- Anda mungkin bimbang bahawa berdialog dengan pesakit memerlukan lebih banyak masa daripada yang tersedia dalam sesi konsultasi. Pendekatan komunikasi seperti Temu Bual Refutasi Empati menyediakan teknik untuk memaksimumkan perbualan walaupun anda hanya mempunyai beberapa minit. Adalah lebih baik untuk membina kepercayaan dan menyediakan asas bagi perbualan seterusnya daripada memberi maklumat yang mungkin tidak diterima dengan baik.
- Teruslah mempraktikkan kemahiran dan teknik komunikasi yang anda pelajari — kemahiran ini biasanya akan bertambah baik apabila digunakan dengan lebih kerap.
Diterjemahkan oleh: Dr. Sangeeta Singh, Pakar Kesihatan Awam, Malaysia


