Oleh: Aïna Chalabaev, Grenoble Alpes University, Perancis

Seperti yang dinyatakan dalam penulisan terdahulu, manfaat kesihatan daripada aktiviti fizikal secara berkala telah terbukti dengan jelas bagi individu berumur 65 tahun ke atas. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menetapkan garis panduan yang jelas mengenai jumlah dan jenis aktiviti yang dikaitkan dengan peningkatan kesihatan. Namun begitu, warga emas masih tergolong antara kumpulan yang paling tidak aktif di seluruh dunia.

Keterbatasan Pendekatan Seragam untuk Semua

Hal ini menunjukkan bahawa meningkatkan kesedaran tentang manfaat aktiviti fizikal sahaja tidak mencukupi; jurang antara niat dan tingkah laku perlu dirapatkan. Para penyelidik psikologi kesihatan telah membangunkan pelbagai teknik berasaskan teori untuk menggalakkan tingkah laku sihat. Namun, sesetenga teknik yang berkesan untuk golongan muda mungkin tidak berkesan, malah boleh mendatangkan kesan negatif kepada warga emas, sekali gus menekankan keperluan pendekatan yang disesuaikan

Ageisme: Halangan Tersembunyi terhadap Aktiviti Fizikal

Ageisme ialah halangan khusus bagi warga emas. Ia termasuk stereotaip (kepercayaan), prasangka (emosi) dan/atau diskriminasi (tingkah laku). Walaupun stereotaip boleh bersifat positif, ia lazimnya negatif — satu tren yang semakin meningkat semenjak abad ke-20. Stereotaip seperti ini menyumbang kepada diskriminasi. Lebih kurang 35% dari orang dewasa berumur 65 tahun ke atas melaporkan mengalami diskriminasi dalam kehidupan harian, dan satu daripada 17 orang dewasa berumur 50 tahun ke atas mengalaminya dalam dalam penjagaan kesihatan.

Profesional kesihatan sering dididik mengenai penuaan melalui lensa penyakit dan kemerosotan. Keadaan ini, ditambah pula dengan pendedahan harian kepada warga emas yang lemah, boleh mengukuhkan sikap ageist. Untuk menanganinya, kajian intervensi membentangkan data yang menentang stereotaip (contohnya mengenai peratusan warga emas yang menjadi sukarelawan, bekerja, atau mempelajari kemahiran baharu). Mereka juga menggalakkan hubungan antara generasi untuk mengubah persepsi — iaitu interaksi bermakna antara golongan muda dan tua

Selain menjadi mangsa diskriminasi, warga emas juga boleh menginternalisasi stereotaip usia. Pasukan Becca Levy mencadangkan satu model di mana stereotaip yang dipelajari lebih awal dalam kehidupan membentuk persepsi kendiri, kesihatan dan jangka hayat warga emas. Sebagai contoh, orang muda yang mempunyai stereotaip negatif tentang penuaan lebih berisiko mengalami masalah kardiovaskular 30 tahun kemudian. Peranan utama terhadap penuaan ini memainkan peranan penting kerana ia mempengaruhi tingkah laku kesihatan — mereka yang mempunyai sikap positif terhadap penuaan diri lebih cenderung untuk kekal aktif dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Intervensi untuk Menangani Ageisme dan Kesan-kesannya

Beberapa kajian telah menguji cara untuk memupuk persepsi diri yang positif terhadap penuaan, khususnya berkaitan aktiviti fizikal. Sebagai contoh, Beyer et al. (2019) menjalankan ujian rawak terkawal melibatkan 84 warga emas yang lemah dan tidak aktif (purata umur ~77 tahun). Satu kumpulan menerima aktiviti fizikal adaptif standard (APA), manakala kumpulan satu lagi menerima APA berserta modul persepsi kendiri. Modul ini merangkumi empat sesi dalam tempoh 12 minggu yang memberi tumpuan kepada mencabar stereotaip, memahami penuaan, dan mengubah persepsi negatif terhadap diri. Kumpulan intervensi melaporkan persepsi yang lebih positif terhadap penuaan dan peningkatan kesihatan mental.

Satu lagi kesan halus stereotaip dikenal pasti melalui kajian eksperimental. Kajian ini menunjukkan bahawa pendedahan kepada stereotaip negatif semasa ujian klinikal boleh menjejaskan prestasi dalam tugas melibatkan memori atau kekuatan genggaman. Satu kajian mendapati bahawa apabila identiti “warga emas” diaktifkan, kekuatan genggaman menurun hampir 50%. Pengaktifan ini boleh berlaku secara tidak langsung — seperti melalui interaksi dengan profesional kesihatan muda, menandakan umur pada borang sebelum ujian klinikal, atau diberitahu bahawa ujian tersebut mengukur keupayaan yang sensitif terhadap usia. Cabaran bagi profesional kesihatan ialah memastikan persekitaran klinikal bebas daripada petunjuk ageisme, contohnya dengan mengelak meminta warga emas menyatakan umur mereka sebelum menjalani ujian klinikal.

Secara keseluruhan, memerangi ageisme memerlukan usaha bersama: meningkatkan kesedaran dan mengubah pandangan masyarakat, sambil memperkasakan warga emas untuk membentuk semula persepsi mereka terhadap penuaan. Bagi mencapai matlamat ini, intervensi yang berasaskan pengetahuan saintifik yang kukuh adalah sangat penting.

Cadangan Praktikal

  • Fikir dan nilai semula andaian anda tentang warga emas serta sentiasa kemas kini pengetahuan saintifik untuk membentuk tanggapan yang tidak berat sebelah.
  • Pertimbangkan bagaimana anda boleh menyampaikan mesej positif tentang penuaan dalam sesi perundingan, dengan menekankan bahawa warga emas masih boleh meningkatkan kekuatan dan mempelajari kemahiran baharu.
  • Terangkan bagaimana pandangan positif terhadap penuaan menyokong aktiviti dan kesihatan jangka panjang.
  • Elakkan petunjuk negatif berkaitan usia seperti menyifatkan ujian sebagai “sensitif terhadap usia” atau membandingkan mereka dengan golongan muda.
  • Galakkan pesakit warga emas untuk menyertai program antara generasi di mana golongan muda dan tua bekerjasama dalam tugasan yang sama.

Translated by: Dr Anne Jamaludin (Malaysia)

Subscribe

Sign up today to get notified whenever a new blog post is published!

And don’t worry, we hate spam too! You can unsubscribe at anytime.

Share

Shares
Aïna Chalabaev
+ posts