Membawa teknik perubahan tingkah laku ke dalam amalan: Menggunakan alatan yang ada

Oleh Marta Moreira Marques, NOVA Universiti Lisbon, Portugal

Teknik perubahan tingkah laku adalah perkara asas intervensi perubahan tingkah laku. Sama ada anda cuba membantu seseorang meningkatkan aktiviti fizikal mereka, berhenti merokok atau lebih baik mematuhi rejimen ubat, teknik perubahan tingkah laku ialah alat yang anda ada. Teknik perubahan tingkah laku yang lazim termasuk perkara seperti penetapan matlamat, pemantauan diri, memberikan maklumat tentang tingkah laku dan mengurus emosi.

Ramai profesional mungkin telah menggunakan pelbagai teknik perubahan tingkah laku ini dalam amalan mereka, tanpa melabelkannya sedemikian. Walau bagaimanapun, untuk mendapatkan kesan maksima dalam membantu klien atau pesakit mengubah tingkah laku mereka, teknik perubahan tingkah laku perlu diterapkan secara sistematik dan rasional (Sebagai contoh, sila rujuk catatan awal dalam blog ini “Cara menetapkan matlamat yang berkesan“). Ini membentangkan dua soalan mencabar untuk pengamal yang sibuk:

  • Bagaimanakah saya boleh mengetahui teknik perubahan tingkah laku yang tersedia untuk saya gunakan?
  • Teknik perubahan tingkah laku yang manakah paling sesuai untuk klien saya dan bagaimana saya boleh mengaplikasikannya dalam amalan?

Blog ini memberikan gambaran keseluruhan beberapa alatan percuma dan boleh diakses yang boleh membantu pengamal menangani soalan ini dan berasa lebih yakin dalam menyampaikan intervensi perubahan tingkah laku dalam amalan mereka.

Bahagian 1. Mengenal pasti teknik perubahan tingkah laku yang tersedia: Sistem pengelasan

Oleh kerana terdapat banyak teknik perubahan tingkah laku untuk dipilih, terdapat usaha daripada saintis tingkah laku dalam membangunkan sistem klasifikasi bagi teknik-teknik ini.

Mungkin klasifikasi yang paling komprehensif dan digunakan secara meluas ialah Taksonomi Teknik Perubahan Tingkah Laku v1 yang dibangunkan oleh penyelidik dari Centre for Behaviour Change. Taksonomi ini mengandungi 93 teknik unik, dikenal pasti dengan label, definisi dan contoh praktikal. Oleh kerana taksonomi ini telah digunakan secara meluas, kini agak mudah untuk mencari sintesis teknik yang paling kerap digunakan dan paling berkesan untuk pelbagai tingkah laku, konteks dan populasi kesihatan. Taksonomi ini sedang diterjemahkan ke bahasa lain untuk memudahkan penggunaannya oleh ahli profesional di seluruh dunia (cth., versi Portugis). Centre for Behaviour Change mempunyai pangkalan data intervensi dalam talian menggunakan taksonomi, latihan dalam talian, aplikasi telefon pintar dan sumber penting lain untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Selain itu, terdapat sistem klasifikasi lain yang boleh membantu, bergantung pada matlamat intervensi. Jika tujuan utama adalah untuk menyokong orang ramai dalam memilih teknik terarah kendiri yang sesuai, contohnya dalam konteks pengurusan diri bagi keadaan kronik, anda boleh merujuk ringkasan  teknik 123 yang disertakan bersama kit alat yang menerangkan teknik dan cara untuk menggunakan mereka dalam bahasa yang mudah difahami.

Bahagian 2. Melaksanakan teknik perubahan tingkah laku dalam amalan: Rangka Kerja dan Latihan Kompetensi

Satu soalan yang boleh timbul daripada membaca bahagian pertama blog ini ialah “OK, sekarang saya tahu cara mengakses alatan ini untuk mengenal pasti teknik yang tersedia, tetapi bagaimana saya tahu yang mana harus digunakan dan bagaimana saya mempelajari cara untuk melaksanakannya?”. Malah, menyampaikan sokongan perubahan tingkah laku dan melaksanakan teknik perubahan tingkah laku memerlukan kemahiran, dengan cara yang sama pengetahuan dan amalan diperlukan untuk mengesyorkan dan melaksanakan sebarang jenis alat terapeutik yang lain.

Pengenalpastian kecekapan yang diperlukan untuk menggunakan pelbagai set teknik perubahan tingkah laku boleh didapati dalam rangka kerja kecekapan. Dalam konteks Eropah, rangka kerja kecekapan antara profesional yang komprehensif telah dibangunkan untuk ahli profesional kesihatan dan ahli profesional yang lain untuk menyokong perubahan tingkah laku dan pengurusan diri penyakit kronik. Rangka kerja ini menyediakan set teras kecekapan yang diperlukan untuk sokongan perubahan tingkah laku dan pengenalpastian teknik yang paling berguna untuk mengubah tingkah laku seperti diet, aktiviti fizikal dan pematuhan ubat.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini (projek Train4Health EU), sumber penting lain telah direka:

  • Kursus Terbuka Dalam Talian Besar-besaran untuk menyediakan latihan bagi ahli kesihatan dan profesional dan pelajar lain tentang cara menyediakan sokongan perubahan tingkah laku (termasuk penggunaan teknik perubahan tingkah laku) untuk pengurusan diri bagi keadaan kronik;
  • Aplikasi web menawarkan persekitaran yang selamat untuk melatih sokongan perubahan tingkah laku, di mana pengguna memainkan peranan sebagai ahli profesional kesihatan atau ahli profesional lain dan berinteraksi dengan manusia maya 2D, memainkan peranan sebagai orang yang mempunyai penyakit kronik;
  • Buku akses terbuka termasuk contoh dan panduan kepada pelaksanaan teknik-teknik ini.

Cadangan Praktikal:

  1. Luangkan masa untuk belajar tentang teknik perubahan tingkah laku: Menguasai penggunaan teknik perubahan tingkah laku, termasuk teknik yang harus digunakan dalam pelbagai situasi, boleh memberi impak yang besar dalam menyokong dan meningkatkan kejayaan sokongan perubahan tingkah laku walaupun dalam pertemuan singkat dengan klien. Cubalah mengikut rentak anda sendiri.
  2. Kenal pasti peluang untuk berlatih tentang cara menggunakan teknik perubahan tingkah laku: Sumber yang disediakan di sini boleh membantu anda untuk bermula, tetapi ia tidak berakhir di situ. Sama ada melalui penganjuran latihan dalaman, atau dengan menghubungi persatuan profesional, ia akan melengkapkan anda dengan kemahiran untuk menggunakan teknik perubahan tingkah laku dalam amalan. Di sesetengah negara, terdapat latihan dan sumber lain yang tersedia daripada institusi profesional dan akademik. Anda juga boleh menghubungi European Health Psychology Society jika anda ingin mendapatkan maklumat lanjut tentang peluang latihan yang tersedia di negara anda.

Diterjemahkan oleh Darlina Hani Fadil Azim