Makan atau tak makan, itulah persoalannya: Bagaimana pengamal psikologi kesihatan boleh membantu mengurus keselamatan makanan?

Oleh Barbara Mullan, Universiti Curtin, Australia

Tahap masalah

Setiap tahun, satu dalam 10 orang di seluruh dunia (lebih kurang 600 juta orang) sakit selepas memakan makanan yang tercemar, dan seramai 420,00 orang mati. Terdapat perbezaan yang pelbagai dari segi geografi di mana kejadian ini berlaku, seperti di Afrika, Asia Tenggara, dan rantau Mediterranean Timur yang mempunyai beban penyakit bawaan makanan yang tinggi (maklumat lanjut tentang beban penyakit bawaan makanan mengikut rantau boleh didapati di sini). Tambahan pula, terdapat kepelbagaian dalam jenis agen yang bertanggungjawab terhadap penyakit bawaan makanan (cth. virus, bakteria, parasit).

Terdapat banyak rangkaian dalam rantaian keselamatan makanan daripada “ladang ke garfu”. Walaupun banyak telah dilakukan untuk membantu peladang, industri dan restoran dalam mengurus keselamatan makanan, penglibatan pengguna dalam pengendalian keselamatan makanan kadangkala tidak dipertimbangkan. Amalam pengendalian keselamatan makanan pengguna adalah penting kerana ia mewakili tahap terakhir pencegahan penyakit bawaan makanan. Perangkaan terhadap pembahagian di mana keracunan makanan bermula di rumah berbeza secara meluas,  di antara 11 sehingga 87%. Sebagai pengamal psikologi kesihatan, banyak yang boleh kita lakukan untuk membantu pengguna meminimumkan risiko mereka mendapat penyakit disebabkan oleh keracunan makanan di rumah.

Amalan-amalan yang menyumbang kepada wabak keracunan makanan adalah pelbagai, tetapi Badan Kesihatan Dunia (WHO) memberikan lima mesej utama untuk mengekal makanan agar selamat untuk dimakan. Ia adalah seperti berikut:

  1. Bersihkan tangan dan perkakas makanan,
  2. Asingkan makanan yang sudah dimasak dengan yang mentah (terutama sekali apabila baru pulang dari kedai/pasar dan ketika menyimpan makanan di dalam peti ais),
  3. Pastikan makanan dimasak sepenuhnya,
  4. Simpan makanan pada suhu yang selamat (i.e., pastikan makanan panas tetap panas,  dan makanan yang sejuk tetap sejuk), dan
  5. Gunakan air dan bahan mentah yang selamat.

Meramal tingkah laku pengguna

Kajian awalan dalam peranan yang dimainkan oleh pengguna telah fokus kepada pengetahuan mereka sebagai pengaruh utama kelakuan mereka. Namun begitu, sebuah tinjauan sistematik telah menemui bukti bahawa pengetahuan tidak semestinya membawa kepada tingkah-laku pengendalian makanan yang selamat. Ia juga sama dengan kelakuan kesihatan yang lain, tetapi pengetahuan diperlukan, walaupun ia tidak cukup untuk mengubah tingkah-laku, tetapi ia membantu membina pemahaman tentang ‘bagaimana’ dan ‘mengapa’ kelakuan tersebut.

Untuk lebih memahami apakah pengaruh lain yang boleh membantu pengguna terlibat dalam mengendalikan makanan dengan selamat, para penyelidik telah menggunakan pelbagai teori kelakuan yang dirancang, teori motivasi perlindungan dan model kepercayaan kesihatan. Sebuah tinjauan penyelidikan terkini telah menemui bahawa niat, norma sosial, keberkesanan diri dan tabiat adalah pengaruh yang penting terhadap pengendalian makanan yang selamat oleh pengguna, dan merumuskan bahawa intervensi berdasarkan konstruk tersebut akan lebih efektif dalam memperbaiki tingkah-laku mereka.

Intervensi kebersihan makanan

Satu lagi tinjauan hebat telah menemui bukti bahawa intervensi pendidikan amat efektif dalam memperbaiki keselamatan makanan di rumah. Tetapi terdapat intervensi-intervensi efektif lain yang mensasarkan konstruk psikososial selain daripada mendidik pengguna. Sebagai contoh, satu intervensi berdasarkan teori kelakuan terancang telah berjaya dalam mengubah kelakuan dalam mengendalikan keselamatan makanan. Intervensi ini memberikan pelajar sarjana muda maklumat keselamatan makanan dan strategi yang telah digunakan, seperti membuat perancangan khusus dan mengenalpasti halangan-halangan, untuk membantu meningkatkan niat dan kawalan tingkah-laku yang dirasakan (cth., keyakinan untuk terlibat dalam tingkah-laku tersebut). Intervensi tersebut meningkatkan kawalan tingkah-laku yang dirasakan dan juga tingkah-laku pengendalian makanan yang selamat. Hasil kajian ini mencadangkan bahawa kita boleh membantu klien dengan mendidik mereka tentang bagaimana untuk melaksanakan tingkah-laku pengendalian makanan yang selamat, dan menggalakkan mereka membuat perancangan khusus untuk berbuat demikian (cth., membantu mereka membuat perancangan untuk menggunakan papan pemotong yang berasingan bagi daging dan sayuran dan berbincang tentang strategi khusus).

Satu lagi intervensi yang berjaya adalah berdasarkan teori tabiat. Intervensi ini telah membantu pelajar sarjana muda membentuk tabiat membersih kain pengelap menggunakan ketuhar mikro dengan memberikan mereka poster berinformasi (cth., sebagai isyarat) dan memberikan mereka peringatan untuk melakukan tingkah laku tersebut setiap tiga atau lima hari. Tingkah laku meningkat dengan ketara sepanjang tiga minggu tempoh ujian, dan telah berterusan pada tiga minggu lanjutan. Secara praktikal, hasil penemuan ini mencadangkan bahawa adalah amat berguna untuk memberikan klien maklumat berkenaan keselamatan makanan, dan juga membantu mereka membentuk tabiat untuk tingkah-laku yang berkaitan (cth. menggalakkan mereka untuk meletakkan peringatan pada telefon bimbit untuk membersihkan kain pengelap menggunakan ketuhar mikro setiap minggu).

Secara rumusan, penyelidikan di atas menunjukkan bahawa masih banyak yang boleh dilakukan oleh pengamal psikologi kesihatan untuk membantu klien kita melibatkan diri dalam tingkah-laku kesihatan yang amat penting ini. Ini bermula dengan mendidik klien kita tentang keselamatan makanan, dan kemudian membantu mereka untuk lebih berkeyakinan dalam keupayaan mereka untuk melakukannya dan juga membantu mereka membina tabiat tersebut.

Sebagai kata pengakhiran, walaupun semua pengguna berisiko untuk mendapat jangkitan disebabkan oleh penyakit bawaan makanan, lebih kurang 25% dari populasi berada pada tahap risiko yang lebih tinggi, termasuk wanita hamil, kanak-kanak di bawah umur 5 tahun, warga-warga tua, dan mereka yang mempunyai daya pertahanan badan yang lemah. Oleh itu, adalah penting bagi pengamal psikologi kesihatan untuk mengenalpasti peluang intervensi yang dinyatakan di atas, seperti apabila ada yang datang dengan penyakit kronik, apabila bekerja dengan ibu bapa atau warga tua, dan wanita yang ingin hamil.

Saranan praktikal

  • Memberi pengetahuan tentang bagaimana keselamatan makanan bermula di rumah, dan tingkah-laku awalan penting termasuk niat, norma sosial, keberkesanan kendiri dan tabiat.
  • Jangan memandang rendah peranan ilmu. Gunakan sumber-sumber kebangsaan dan global untuk mendidik pengguna tentang kepentingan kelakuan terhadap keselamatan makanan; sebaik sahaja mereka mempunyai maklumat tersebut, kelakuan yang mudah menjadi senang untuk diikuti.
  • Mengetengahkan kepentingan keselamatan makanan, dengan menekankan bagaimana kelakuan seperti memasak dengan selamat dan mengendali makanan dengan selamat boleh memberi kesan terhadap kesihatan dan meminimumkan risiko keracunan makanan untuk individu dan mereka yang dikasihi.
  • Tangani kedua-dua proses rasional (cth. niat) dan automatik (cth. tabiat). Mulakan dengan strategi bermotivasi seperti menetapkan matlamat dan perancangan, kemudian menggalakkan penggunaan petunjuk (cth. poster dan peringatan) untuk membantu mereka membina tabiat dan rutin keselamatan makanan.

 

[Diterjemah oleh: Dr Anne Jamaludin]