Membantu wanita mengandung berhenti merokok: berkongsi amalan terbaik dari UK

Oleh Felix Naughton, University of East Anglia, UK

Lebih kurang 25-50% wanita berhenti merokok apabila mendapat tahu mereka hamil.  Tetapi mengapa ada yang masih terus merokok sepanjang kehamilan mereka?

Tidakkah mereka tahu merokok ketika hamil amat merbahaya? Mereka selalunya tahu. Salah satu dari kajian UK, yang terdiri daripada wanita hamil yang bermotivasi dan tidak bermotivasi untuk berhenti merokok, mendapati bahawa 99% agak bersetuju dengan kenyataan ‘merokok ketika hamil boleh menyebabkan kemudaratan yang serius terhadap bayi saya’ dengan lebih kurang 75% amat setuju. Namun begitu kurang dari 10% dari mereka yang telah berhenti merokok 12 minggu kemudian. Walaupun percubaan untuk berhenti adalah tinggi di kalangan mereka yang mempunyai ‘kepercayaan tentang kemudaratan’ tentang merokok ketika hamil, ia tidak menunjukkan  peningkatan peluang untuk berjaya..  

Kesimpulan: Kepercayaan tentang kemudaratan merokok ketika hamil hanya memainkan peranan yang kecil.

Adakah mereka tidak bermotivasi untuk berhenti? Dalam sesetengah kes ia memang benar. Kajian kami telah menunjukkan pada peringkat awal kehamilan, setengah daripada wanita telah melaporkan niat untuk berhenti dalam masa 30 hari dan bilangan yang sama telah cuba untuk berhenti. Sepanjang kehamilan, motivasi untuk berhenti semakin berkurangan. Apa yang mengejutkan adalah adanya motivasi tidak meningkatkan peluang untuk berjaya berhenti. Perkara yang sama didapati di kalangan perokok yang tidak hamil. Tambahan pula, semakan kajian terkawal secara rambang yang menilai intervensi temuramah bermotivasi, satu pendekatan kaunseling yang bertujuan untuk membantu mereka dalam meningkatkan motivasi untuk mengubah tingkah laku, mendapati pendekatan ini tidak berkesan bagi mereka yang hamil.

Kesimpulan:  Motivasi meningkatkan peluang seorang wanita untuk cuba berhenti tetapi bergantung sepenuhnya pada motivasi tidak akan membantunya untuk kekal henti.

Adakah mereka tidak berminat dalam mendapatkan bantuan untuk berhenti? Sekali lagi, ini mungkin betul dalam sesetengah kes, tetapi tidak semua. Kami dapati lebih kurang separuh daripada wanita yang hamil inginkan bantuan untuk berhenti merokok pada awal kehamilan. Tidak seperti motivasi, tahap minat terhadap sokongan masih kekal pada waktu hujung kehamilan. Tetapi hanya satu persepuluh yang telah melaporkan telah mengakses sokongan untuk berhenti pada bila-bila masa dalam tempoh kehamilan. Bagi mereka yang mengakses, telah melaporkan minat yang lebih tinggi untuk melakukannya pada awal kehamilan. Berbicara dengan profesional kesihatan tentang berhenti amat berkaitan dengan minat untuk mengakses sokongan, jadi ini merupakan cara terbaik untuk meningkatkan akses kepada bantuan.

Kesimpulan: Berbicara dengan wanita hamil tentang berhenti merokok mungkin dapat meningkatkan minat beliau terhadap sokongan, yang juga akan meningkatkan peluang untuk mengaksesnya.

Tiadakah cara yang berkesan untuk membantu wanita hamil? Kita bernasib baik kerana ada. Kajian-kajian telah menunjukkan bahawa sokongan tingkahlaku, nasihat berstruktur dan bantuan untuk mengendali aspek-aspek tingkahlaku merokok dan berhenti (bukan melalui temuramah motivasi), sama ada secara bersemuka atau dalam bentuk bantuan-kendiri, samada bercetak atau sumber digital, boleh membantu wanita hamil untuk berhenti merokok. Menambahkan terapi gantian nikotin (NRT) kepada sokongan tingkahlaku untuk wanita yang mempunyai kebergantungan sederhana dan tinggi akan meningkatkan keberkesanan sokongan. Tetapi, buktinya amat lemah, mungkin kerana kebanyakan kajian melaporkan pematuhan amat rendah terhadap NRT. Ini mungkin disebabkan oleh kebimbangan bahawa nikotin merbahaya kepada bayi. Tetapi, satu semakan yang melihat kepada kajian berkualiti tinggi termasuk beberapa puluh ribu wanita dan bayi mendapati tiada bukti yang menunjukkan bahaya menggunakan NRT ketika hamil. Berdasarkan ini, wanita boleh menarik nafas lega bahawa sebarang risiko menggunakan NRT amat rendah, berbanding dengan penggunaan tembakau yang berterusan. Salah satu faktor yang kurang dikenali adalah wanita hamil memecahkan nikotin dalam badan mereka dua kali lebih pantas berbanding dengan mereka yang tidak hamil, disebabkan oleh peningkatan metabolisme. Ini bermaksud wanita hamil akan memerlukan NRT lebih daripada biasa untuk mengurangkan ketagihan dan penarikan. Dan kebiasaannya, wanita dan pengamal kesihatan selalunya menyokong penggunaan NRT kurang dari sepatutnya.

 Lain-lain bentuk pemberian nikotin, seperti e-rokok, mungkin sama keberkesanannya ketika hamil dan juga ketika tidak hamil, tetapi kita tidak mempunyai bukti yang menyokong saranannya. Kemudaratan daripada e-rokok mungkin kurang daripada tembakau. Jika wanita hamil ingin menggunakan e-rokok untuk membantu mereka berhenti merokok, nasihat di UK adalah untuk memberi sokongan kepada mereka. Satu pendekatan berkesan yang lain adalah untuk memberikan sokongan kewangan bagi mencapai kekal henti, jika diberikan sekali dengan sokongan tingkahlaku.  Bukti telah menunjukkan bahawa insentif adalah pendekatan paling berkesan yang diketahui.

Kesimpulan: Sokongan tingkahlaku, terutama sekali apabila digabungkan dengan terapi gantian nikotin bagi mereka yang menunjukkan ketagihan nikotin dan/atau dengan insentif kewangan, adalah berkesan. 

Siapa yang memerlukan sokongan? Terdapat banyak faktor yang dikaitkan dengan berhenti merokok ketika hamil, seperti tahap pendidikan atau sumber pendapatan yang rendah. Tetapi faktor-faktor yang lebih penting adalah mempunyai pasangan yang merokok dan mempunyai ketagihan yang sederhana atau tinggi – ini merupakan halangan yang penting untuk berhenti bagi kebanyakan wanita. Faktor-faktor lain adalah mempunyai kemurungan dan mengalami tekanan yang tinggi ketika hamil.

Kesimpulan: Wanita yang mempunyai satu atau semua ciri-ciri ini kemungkinan memerlukan sokongan intensif dan pelbagai komponen.

 Saranan yang praktikal:

Memberikan wanita yang merokok ketika hamil dengan maklumat tentang risiko merokok bagi mereka dan bayi mereka dan menawarkannya kepada semua wanita, tidak kira motivasi mereka untuk berhenti, sokongan untuk berhenti merokok. Bagi mereka yang menolak, terus memberikan sokongan sepanjang kehamilan mereka. 

  •   Memberikan sokongan tingkahlaku berstruktur, sama ada secara bersemuka atau sokongan kendiri, diberikan dalam bentuk cetakan atau digital, kepada mereka yang menerima sokongan. Tetapi bukan temuramah bermotivasi. 
  •   Keberkesanan sokongan tingkahlaku akan meningkat dengan pemberian terapi gantian nikotin (NRT) untuk wanita yang menunjukkan kebergantungan nikotin yang sederhana sehingga tinggi. Tetapi, wanita patut diberi sokongan untuk menggunakannya secara efektif bagi memaksimumkan pematuhan dan mendapatkan jawapan bagi sebarang keraguan tentang penggunaannya ketika hamil. Jika wanita ingin menggunakan e-rokok untuk berhenti dan ini mungkin dapat membantu mereka dan patut dipertimbangkan sebagai pendekatan yang meminimumkan kemudaratan.
  •   Jika NRT diberikan, galakkan wanita untuk menggunakan dua bentuk (‘terapi gabungan’ cth. Tampalan dan gula-gula) untuk memaksimumkan gantian nikotin bagi mengurangkan ketagihan dan kesan-kesan penarikan. 
  •   Jika berkemampuan, berikan insentif kewangan untuk berhenti, bergantung kepada pengesahan, cth. Ujian nafas menggunakan penilai karbon monoksida (CO).

Keterangan mengenai konflik berkepentingan: Dr Felix Naughton tidak mempunyai sebarang pertalian atau hubungan dengan sebarang penghasil terapi gantian nikotin ataupun e-rokok.

[Translated by Dr Anne Jamaludin…]