Kekeliruan (dan kejelasan) dalam terjemahan: Komunikasi berkesan dengan pesakit

Oleh Zuzana Dankulincova, Pavol Jozef Safarik University, Slovakia

Walaupun kebanyakan penyelidik sedar bahawa menyebarkan hasil kajian adalah sebahagian daripada tanggungjawab etika mereka kepada peserta penyelidikan (dan mereka berharap hasil penyelidikan mereka mempunyai implikasi yang jelas dan praktikal), peralihan daripada sesuatu bukti itu kepada pelaksanaan yang meluas boleh mengambil masa yang lama. Pengetahuan saintifik tidak selalu digunakan untuk amalan harian; apabila ia digunakan, ia biasanya tidak dilakukan secara konsisten atau sistematik.

Mengapakah ia berlaku? Penyedia penjagaan kesihatan mungkin rasa ditenggelami oleh jumlah kajian penyelidikan, intervensi dan cadangan yang terlalu banyak. Apabila menyemak bukti dan cadangan kajian, fikir tentang kesesuaian bukti bagi persekitaran setempat anda. Adakah konteks yang diterangkan dalam cadangan daripada kajian penyelidikan setanding dengan konteks anda? Adakah anda mempunyai sumber yang diperlukan untuk melaksanakan cadangan itu, atau adakah anda kekurangan sumber dan kemahiran yang diperlukan? Adakah pesakit anda mempunyai apa yang mereka perlukan untuk melaksanakan cadangan itu? Malah intervensi yang direka dengan baik dan paling berpotensi tidak akan berkesan jika tidak “sesuai” dengan pesakit dan persekitaran anda. Sebagai contoh, mungkin sukar untuk mengesyorkan campur tangan e-kesihatan bagi mereka yang tidak mempunyai telefon pintar atau komputer, atau mereka yang mempunyai literasi digital yang rendah.

Satu lagi aspek penting dalam terjemahan pengetahuan ialah interaksi antara mereka yang menggunakan pengetahuan itu (cth., pesakit) dan mereka yang memiliki dan berkongsi pengetahuan itu (cth., pengamal penjagaan kesihatan). Tidak kira berapa baik kami menyampaikan cadangan kami, ia tidak akan membawa kesan yang diingini jika ia tidak relevan atau berguna untuk pesakit. Mendengar adalah komponen teras terjemahan pengetahuan. Seseorang yang didengari boleh memanfaatkan kebijaksanaan mereka dan melihat sesuatu dari perspektif baharu. Lebih baik kita mendengar pesakit dan klien, lebih baik kita dapat memenuhi keperluan mereka, dan lebih banyak mesej kita akan dipercayai, disukai dan akhirnya diambil tindakan oleh pesakit. Untuk mencapai matlamat ini, dengar secara aktif apa yang pesakit anda katakan tanpa mengenakan jangkaan anda dan sediakan masa yang cukup untuk pesakit anda tanpa gangguan. Gunakan soalan terbuka jika boleh, sesuaikan dengan tahap literasi kesihatan pesakit anda, dan elakkan penggunaan istilah perubatan. Jika istilah perubatan perlu digunakan, pastikan anda menyemak sama ada ia difahami dan jika tidak, pastikan anda menerangkan istilah yang digunakan.

 

Selain itu, anda juga harus bertanya kepada diri sendiri dan pesakit atau klien anda tentang faktor yang mungkin menghalang anda daripada berjaya memberikan intervensi tertentu atau mungkin menghalang pesakit daripada melaksanakan intervensi itu dengan berjaya. Untuk berjaya melaksanakan sesuatu perubahan, ukuran atau intervensi, anda harus mempertimbangkan potensi halangan terlebih dahulu. Walaupun anda mungkin tidak dapat menyenaraikan kesemuanya, pastikan anda mempunyai masa yang cukup dengan pesakit anda untuk memikirkan perkara yang mungkin berlaku, mengapa dan bagaimana ia boleh dicegah atau diselesaikan. Sebagai contoh, jika pesakit anda memutuskan untuk membuat perubahan diet, mungkin relevan untuk membincangkan sama ada pesakit akan menyediakan makanan mereka atau jika mereka akan makan di restoran atau kantin. Jika makanan disediakan di rumah, adakah cukup masa untuk itu? Jika ada sedikit masa, bagaimana perkara ini boleh diselesaikan?? Jika seseorang itu merancang untuk makan di restoran atau kantin, adakah mereka mempunyai pelbagai jenis makanan yang sesuai? Adalah baik untuk mempertimbangkan senario yang berbeza bersama-sama, dan mempertimbangkan masalah yang mungkin berlaku atau menggalakkan pesakit anda memfikirkan cara-cara tertentu sebagai perancangan sendirian.

 

Sebaik sahaja intervensi yang berkaitan dipilih dan disesuaikan dengan pesakit anda dan konteksnya, dengan mengambil kira potensi halangan, sudah tiba masanya untuk melaksanakannya. Pastikan campur tangan anda sejelas dan sesingkat mungkin. Sebagai contoh, jika anda ingin menggalakkan pesakit membentuk pelan tindakan untuk bersenam, galakkan mereka untuk menyatakan bila, di mana, dan cara melakukannya. Bukti menunjukkan bahawa perubahan lebih berkemungkinan berlaku bagi intervensi yang lebih terancang dan berfokus.

 

Pelaksanaan bukanlah penamatnya, anda perlu tahu sama ada intervensi itu berfungsi. Langkah terakhir yang penting ialah mendapatkan maklum balas bersama penilaian supaya anda boleh mengambil kira perkara tersebut pada masa hadapan. Pastikan anda membuat susulan dengan pesakit anda, tanya mereka tentang kemajuan mereka, apa yang berkesan untuk mereka, dan jika mereka menghadapi masalah mengikut cadangan atau tetap dengan intervensi yang diberikan, bincangkan dengan mereka apa yang boleh menyebabkan masalah dan apakah penyelesaian yang boleh mereka laksanakan.

 

Cadangan Praktikal:

  1. Cari ilmu yang berkaitan dengan persekitaran tempatan anda – cari sumber maklumat anda yang relevan dan sah dan nilai kaitan dan kesesuaian bukti untuk pesakit dan konteks anda.
  2. Berkomunikasi dengan berkesan – buka saluran interaksi dan komunikasi yang berkesan dengan pesakit anda dan dengar tanpa mengenakan idea anda tentang perkara yang pesakit anda perlukan.
  3. Fikirkan dan tanya tentang halangan – bersama pesakit anda, fikirkan tentang perkara yang mungkin berlaku, mengapa, dan bagaimana ia boleh dicegah.
  4. Rancang intervensi anda dengan jelas dan padat – perubahan lebih berkemungkinan berlaku jika intervensi dirancang dan difokuskan.
  5. Dapatkan maklum balas – kumpulkan maklumat tentang cara intervensi berjalan dan pastikan anda menggunakannya untuk memperbaikinya pada masa hadapan.

 

Translated by Darlina Hani Fadil Azim

 

Join Our Blog

Signup today to get notified when new relevant blog posts are published.

And don’t worry, we hate spam too! You can unsubscribe at anytime.