Oleh António Labisa Palmeira, CIDEFES – Universidade Lusófona, Portugal; ISBNPA Executive Director
Motivasi jangka panjang untuk tingkah laku kesihatan boleh datang daripada pelbagai sumber. Para saintis tingkah laku masih cuba mencari cara untuk menyatukan sumber-sumber ini bersama. Sebagai contoh, saya berlari hampir setiap hari dan telah melakukannya selama 30+ tahun. Bagaimana dan mengapa saya mengekalkan tingkah laku ini?
Daniel Kahnemann akan mencadangkan bahawa sistem dwi-motivasi (dual motivational systems) sedang berlaku: sistem 1 yang berurusan dengan naluri dan emosi, dan sistem 2 yang bersifat sengaja dan sedar. Dia mungkin berhujah bahawa sistem 2 mendorong saya untuk berlari kerana saya sedar tentang faedah bersenam untuk kesihatan. Sebaliknya, Ed Deci mungkin mencadangkan bahawa saya mempunyai motivasi intrinsik untuk berlari dan melakukannya kerana ia sejajar dengan nilai dan diri saya dan juga kerana saya seronok melakukannya
Manakah antara ini yang betul? Saya berpendapat bahawa kedua-duanya adalah betul, dan terdapat beberapa teori lain yang mungkin juga kritikal dalam menjelaskan pengekalan tingkah laku. Bagaimanakah teori ini berfungsi bersama dan bagaimana boleh kita menggunakannya dalam amalan harian? Sebagai contoh, bagaimanakah sistem 1 dan 2 boleh berkongsi maklumat dengan berkesan antara satu sama lain? Dengan memahami mekanisme ini, kami boleh membantu pesakit dalam usaha mengekalkan tingkah laku yang sihat.
Saya berpendapat bahawa motivasi intrinsik memainkan peranan juga, dan saya akan menggunakan cerita Haidt Elephant and the Rider untuk meneroka idea ini. Metafora Haidt sejajar dengan model dwi pemprosesan yang dibentangkan di atas, menyatakan bahawa Gajah ialah sistem 1 kami, didorong secara fisiologi, mempengaruhi tingkah laku secara naluri dan menggunakan maklumat tersirat (bawah sedar). Penunggang adalah sistem 2 kami, didorong oleh kebaikan berbanding keburukan, menggunakan maklumat yang jelas (sedar).
Apabila Penunggang keliru tentang maklumat mana yang terbaik, Gajah menyerbu masuk dan melakukan tugasnya secara naluri. Sebagai contoh, kerana Gajah berkembang dalam era kekurangan, ia akan mendorong anda untuk merebut sebarang peluang untuk makan makanan berkalori tinggi atau mengekalkan tenaga pada tahap minimum. Hari ini, dalam zaman yang serba banyak sumber makanan dan informasi, ini bermasalah kerana Penunggang keliru dengan maklumat yang bercanggah tentang cara memperbaiki tingkah laku kesihatan. Fikirkan tentang berapa banyak diet berbeza yang tersedia… Maklumat yang berlebihan ini menyumbang kepada perkembangan tabiat tidak sihat seperti makan berlebihan dan kurang aktiviti fizikal.
Tabiat ialah tindak balas automatik kepada isyarat yang relevan dan memainkan peranan asas dalam tingkah laku pemakanan dan aktiviti fizikal. Sebagai contoh, dengan lebih 220 keputusan sehari mengenai makanan sahaja, lebih baik kita menggunakan tabiat untuk mengelakkan ‘kelumpuhan keputusan’ ataupun decision paralysis (iaitu, tidak membuat keputusan langsung kerana terlalu banyak pilihan yang tersedia) dan makan sesuatu, walaupun ia bukan pilihan yang paling sihat.
Jadi persoalannya ialah, bagaimana boleh kita mencipta tabiat yang lebih sihat?
Pada pendapat saya, peranti kesihatan digital boleh membantu kita mencipta tabiat yang lebih sihat. Sebagai contoh, dalam projek NoHoW, kumpulan kami membangunkan aplikasi yang disambungkan kepada jam tangan pintar dan gajet boleh pakai yang lain, yang sentiasa mengumpul data tentang keadaan “Elephantly” (iaitu, badan). Aplikasi itu kemudiannya menjadikan maklumat ini tersedia secara jelas dan terus untuk dilihat oleh seseorang itu. Hasilnya, ini memberikan Penunggang sumber baharu: penstriman data pemantauan diri tentang keadaan badan. Sumber ini boleh digunakan untuk memperkayakan proses kawal selia kendiri dan motivasi untuk meneruskan tingkah laku yang lebih sihat.
Menawarkan akses langsung kepada Penunggang tentang perkara yang dialami oleh Gajah memperkasakan seseorang itu untuk mewujudkan hubungan antara tingkah laku mereka sendiri dan nilai, kepercayaan dan matlamat mereka. Sebagai contoh, apabila saya berlari, Gajah (badan) saya memberitahu saya bahawa saya berasa kuat dan bertenaga. Kemudian, apabila saya menyemak jam tangan pintar saya selepas berlari, saya melihat bahawa saya telah berjaya mencapai 10,000 langkah untuk hari itu. Dalam kes ini, Penunggang (saya) berasa dapat mengawal keadaan, kerana Gajah dan Penunggang sejajar, dan fikiran saya membuat hubungan antara rasa kuat dan bertenaga serta mengambil lebih banyak langkah. Ini mengukuhkan corak tingkah laku itu.
Memautkan data daripada gajet boleh pakai dengan keadaan somatik dan emosi dalaman seseorang boleh memberikan kesan berikut:
- Penunggang dan Gajah akan menjadi lebih sejajar, dan dengan itu memudahkan pengekalan tingkah laku.
- Apabila Penunggang dan Gajah tidak sejajar, ia boleh memberi isyarat kepada seseorang untuk menilai semula (kesan) corak tingkah laku mereka.
- Tingkah laku yang sihat boleh lebih dihayati (iaitu, tingkah laku ini menjadi sebahagian daripada identiti anda dan disepadukan dengan apa yang anda lakukan).
Dengan mengambil kira perkara ini, jawapan kepada cara dan sebab saya mengekalkan larian saya selama 30+ tahun menjadi lebih jelas: Saya berlari kerana Gajah saya dan Penunggang saya sejajar semasa saya berlari. Dalam bahasa Portugis, terdapat pepatah: “Quem corre por gosto, não cansa” – perkara yang anda suka lakukan, tidak membuat anda letih. Bagi saya, ini adalah contoh sempurna bagaimana motivasi intrinsik menghubungkan Gajah dan Penunggang.
Bukti untuk idea ini agak kurang (di sini & di sini) dan penyelidikan masih di peringkat awal. Penderia yang lebih baik diperlukan dan kandungan aplikasi perlu berasaskan bukti. Projek NoHoW telah direka bentuk dengan mengambil kira kebimbangan ini, tetapi lebih banyak penyelidikan diperlukan. Kita juga mesti sedar tentang masalah yang timbul daripada APPtimism: anda mungkin menjumpai “aplikasi untuk…” hampir semua perkara, tetapi itu tidak bermakna aplikasi itu akan berkesan.
Cadangan praktikal
Ingat perkara ini apabila mempertimbangkan cara aplikasi atau intervensi perubahan tingkah laku digital boleh mempengaruhi cara Gajah dan Penunggang berinteraksi untuk menyokong tingkah laku kesihatan.
Pelajari tentang teknologi baharu – jejaki gajet baru dan maklumat yang tersedia. Kemudian, fokus pada maksud data yang dikumpulkan dan cara data itu boleh membantu mengekalkan tingkah laku yang sihat.
Cari struktur – apakah kebolehubahan kadar denyutan jantung? Apakah kecergasan kardiorespiratori? Si Penunggang suka berasa cekap; cebisan maklumat ini menyediakan struktur supaya kecekapan boleh terus ditingkatkan. Kebanyakan aplikasi menerangkan konsep ini. Maka cari dan pelajari lebih lanjut mengenainya.
Cari persekitaran yang memberi sokongan, yang selamat dari segi emosi dan perhubungan – Cuba fahami sama ada aplikasi menggunakan maklumat dari gajet boleh pakai dalam persekitaran yang menyokong, yang tidak menghakimi, meningkatkan pembuatan keputusan secara autonomi dan motivasi intrinsik. Walaupun data dari gajet boleh pakai boleh digunakan sebagai mata wang untuk pertarungan kompetitif (cth. Kebolehubahan kadar jantung saya lebih rendah daripada anda), peranan persaingan sebagai pemacu tingkah laku adalah tidak jelas dan terdapat banyak kebolehubahan di antara individu-individu.
Berhati-hati dengan maklumat yang ada – berwaspadalah: maklumat boleh membawa kepada tingkah laku yang berlebihan. Gunakan maklumat sebagai sumber, bukan sebagai satu-satunya pemacu tingkah laku.
Translated by Darlina Hani Fadil Azim