Oleh Victoria Woof dan David French, Manchester Centre for Health Psychology, University of Manchester, UK
Secara tradisinya dalam perubatan dan psikologi kesihatan, profesional penjagaan kesihatan telah menyediakan pesakit dengan risiko penyakit peribadi mereka dengan tujuan untuk mencegah penyakit. Apabila komunikasi risiko memudahkan perubahan kepada tingkah laku kesihatan, ia berpotensi mengurangkan perkembangan penyakit dan mengenalpasti penyakit pada peringkat yang boleh dirawat. Contohnya menyampaikan risiko penyakit kardiovaskular untuk menggalakkan senaman fizikal dan diet yang lebih baik untuk mengurangkan risiko penyakit. Walau bagaimanapun, terdapat matlamat dan hasil lain yang perlu dipertimbangkan semasa menyampaikan maklumat tentang risiko penyakit. Selanjutnya, matlamat profesional penjagaan kesihatan dan pesakit atau orang awam mungkin tidak sentiasa sejajar. Beberapa matlamat berkaitan komunikasi risiko telah dikenal pasti, termasuk memudahkan pilihan termaklum dan menghasilkan tindak balas yang berkesan dan sesuai, serta mendorong perubahan tingkah laku.
Amalan dan implikasi komunikasi risiko semasa
Untuk memudahkan pemahaman maklumat berangka dan meningkatkan komunikasi risiko, pelbagai pendekatan telah dipertimbangkan, seperti menggunakan pembentangan visual risiko, contohnya tatasusunan ikon (ikon yang mewakili bilangan orang yang berisiko). Namun, individu terus mengalami kesukaran untuk memahami maklumat berangka dan implikasinya. Khususnya, memberikan maklumat risiko jenis ini secara berasingan nampaknya tidak mempunyai sebarang kesan besar atau tahan lama terhadap perubahan tingkah laku. Satu penjelasan yang mungkin akan mengurangkan impak ini ialah mengubah kepercayaan kerentanan individu itu melalui maklumat risiko berangka sahaja merupakan campur tangan yang agak lemah, dengan kepercayaan tentang keberkesanan kendiri dan cara mengatasi sesuatu (iaitu sejauh mana individu percaya mereka mempunyai kapasiti untuk melaksanakan sesuatu tingkah laku) yang berpotensi mempunyai implikasi yang lebih positif untuk mengubah tingkah laku.
Walau bagaimanapun, seperti yang dinyatakan sebelum ini, terdapat tujuan lain untuk komunikasi risiko dipertimbangkan. Dalam literatur risiko kanser, didapati bahawa individu memahami dan dapat mengingat kembali anggaran risiko mereka. Walau bagaimanapun, individu-individu ini tidak selalu percaya anggaran risiko ini mencerminkan risiko yang mereka anggap, walaupun diberi penjelasan yang jelas, dengan majoriti membuat anggaran risiko yang lebih tinggi. Nampaknya di sini bahawa individu mempunyai persepsi sedia ada tentang risiko mereka yang kekal tidak berubah apabila anggaran klinikal berangka disediakan. Jadi, apa yang mungkin menyebabkan ini?
Komunikasi risiko dan penilaian risiko peribadi
Pengalaman peribadi penyakit keluarga, kesesuaian antara jangkaan peribadi dan anggaran klinikal dan idea peribadi tentang punca semuanya mempunyai kesan ke atas cara anggaran risiko kanser payudara klinikal khususnya dilihat dan dihayati. Walaupun peruntukan anggaran risiko klinikal mempunyai sedikit kesan ke atas hasil emosi, emosi sedia ada (dinilai sebelum risiko dikomunikasikan) adalah peramal yang kuat tentang bagaimana anggaran risiko dilihat dan bertindak balas terhadapnya. Tanpa pengiktirafan isu-isu ini, teknik komunikasi risiko yang kita gunakan hanya akan menyokong keputusan termaklum dan penilaian risiko yang tepat.
Kami baru-baru ini telah menyerlahkan dalam ulasan sistematik kajian-kajian kualitatif bahawa keterukan kanser payudara dalam keluarga mempengaruhi penglibatan wanita dalam tingkah laku pencegahan. Sekiranya kanser payudara tidak menjadi keutamaan berbanding penyakit lain, penglibatan dalam tindakan pencegahan mungkin diabaikan, kerana penyakit lain dalam keluarga lebih membimbangkan. Begitu juga, apabila jangkaan risiko terdahulu tidak sepadan dengan anggaran risiko klinikal, wanita mungkin bertindak balas dengan keraguan dan kejutan, dengan kepercayaan mereka terhadap anggaran itu terjejas. Jika anggaran klinikal tidak sesuai dengan pandangan dan jangkaan sedia ada ini, cadangan perubahan pada diet atau pengambilan ubat pencegahan mungkin tidak diambil tindakan.
Ke arah pendekatan yang lebih peribadi terhadap komunikasi risiko
Mereka yang menerima anggaran risiko penyakit yang diperibadikan bukanlah penerima pasif maklumat ini. Sebaliknya individu ini menggunakan konteks sosial, pandangan berat sebelah mereka, nilai dan pengalaman mereka untuk memahami maklumat mengenai risiko mereka, yang mungkin tidak selalu sejajar dengan matlamat si pemberitahu atau risiko berangka yang diberikan.
Dialog terbuka dengan penerima risiko penyakit adalah bermanfaat, meliputi lebih daripada anggaran berangka agar matlamat dan pengetahuan bersatu. Untuk komunikasi risiko yang berkesan, profesional penjagaan kesihatan perlu memahami pada peringkat pertama, pengetahuan dan pemahaman individu yang sedia ada tentang risiko penyakit tertentu. Dengan berbuat demikian, para profesional akan memberikan diri mereka dan penerima peluang untuk membincangkan pemahaman bersama dan bekerja melalui persepsi yang salah untuk menyelaraskan matlamat mereka. Lebih banyak masa yang dihabiskan untuk menyediakan maklum balas yang diperibadikan dan disesuaikan berkemungkinan akan meningkatkan cara penerima berfikir tentang risiko mereka dan juga meningkatkan keyakinan kedua-dua pihak dalam membuat keputusan termaklum yang dikongsi, serta memudahkan perubahan berterusan pada tingkah laku kesihatan.
Cadangan praktikal:
- Apakah matlamat komunikasi risiko anda – sebelum memberikan risiko penyakit adalah penting untuk menentukan terlebih dahulu perkara yang anda cuba capai, contohnya, perubahan tingkah laku, pilihan termaklum. Setelah matlamat ditetapkan, profesional juga harus mempertimbangkan matlamat penerima dan bekerjasama untuk mencari titik persamaan.
- Buka dialog dengan penerima – sediakan ruang untuk penerima menyampaikan fikiran mereka untuk menilai cara berbeza mereka melihat risiko mereka dan sama ada mereka memiliki pengetahuan yang diperlukan untuk membuat pilihan termaklum dan membantu membimbing mereka dalam pilihan mereka, walau apa pun pilihan mereka
- Cabar salah faham dengan hormat – bekerjasama dengan penerima untuk membincangkan idea yang salah dan mengatasi jurang pengetahuan. Ini akan menetapkan asas untuk membuat keputusan yang lebih termaklum, jika ini adalah matlamat komunikasi.
- Sesuaikan komunikasi anda – fikirkan tentang keperluan penerima dan wujudkan cara untuk memindahkan pengetahuan untuk mengadakan perbincangan yang bermakna. Ini boleh dilakukan dengan melapis maklumat dengan menyediakan maklumat ringkas atau ‘intisari’ yang kemudian disandarkan oleh bahan yang lebih terperinci, jika diminta.
Diterjemahkan oleh Darlina Hani Fadil Azim