Peter Harris dan Ian Hadden, The Self-Affirmation Research Group, School of Psychology, University of Sussex, UK
Pernahkah anda berasa berat hati untuk menghadapi sesuatu yang anda lebih rela untuk mengabaikannya? Mungkin kesukaan anda untuk terlalu kerap makan sesuatu yang kurang baik bagi anda atau kecenderungan untuk mengelakkan pemeriksaan kesihatan? Bukan anda seorang sahaja. Kebanyakan dari kita rasa yang kita adalah orang yang munasabah dan cekap. Jadi, ia adalah agak mencabar bila kita diberitahu bahawa kita melakukan sesuatu yang tidak munasabah atau tidak cekap. Akibatnya, kita boleh jadi agak mahir menentang mesej yang kita lebih suka untuk tidak mendengar.
Malangnya, menentang mesej mengenai risiko kepada kesihatan kita – seperti kesan-kesan obesiti atau merokok atau tidak mematuhi pengambilan ubat – boleh mendatangkan akibat yang serius kepada kualiti dan juga jangka hayat kita. Jadi, bagaimanakah anda sebagai pengamal kesihatan boleh membantu klien mengambil serius mesej-mesej kesihatan yang mereka lebih suka untuk mengendahkannya. Satu teknik yang dikenali sebagai pengesahan diri sendiri (self affirmation) mungkin boleh membantu.
Pengesahan diri sendiri adalah sesuatu yang boleh membantu seseorang meyakinkan diri bahawa dia adalah seorang yang baik dan cekap. Ini mengurangkan keperluannya untuk melindungi diri dari mesej kesihatan yang menyiratkan yang mereka tidak baik dan cekap, dan ini dapat membantunya menilai mesej itu dengan lebih objektif dan fokus kepada aspek mesej yang berkaitan dan penting untuknya. Ini pula akan dapat menggalakkannya untuk mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menangani masalah kesihatan itu. Anda boleh mengetahui lebih lagi tentang teori disebalik pengesahan diri sendiri di sini.
Hampir apa sahaja layak digunakan untuk pengesahan diri sendiri, termasuklah peringatan tentang amalan baik, bakat istimewa, kekuatan watak atau hubungan sosial penting bagi seseorang itu. Buat masa ini teknik yang paling banyak dikaji untuk mendorong pengesahan diri sendiri adalah pengesahan nilai (values affirmation) di mana orang menjawab soalan ataupun menulis nilai mereka yang paling penting seperti sentiasa bermurah hati atau jujur.
Bukti yang menunjukkan pengesahan diri sendiri adalah berkesan datang dari kajian eksperimen. Peserta yang telah digesa untuk mengesahkan diri sendiri (selalunya hanya sekali sahaja) cenderung untuk lebih mempercayai mesej kesihatan dan berasa lebih bersedia untuk berubah berbanding dengan mereka yang tidak digesa untuk mengesahkan diri sendiri. Pengesahan diri sendiri juga menyebabkan perubahan tingkahlaku beberapa bulan kemudian. Manfaat pengesahan diri sendiri telah dijumpai untuk pelbagai tingkah laku kesihatan termasuk pengambilan alkohol, merokok, amalan seks yang tidak selamat, pengambilan merkuri dalam ikan, penyalahgunaan dadah di dalam bidang sukan, pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran, aktiviti fizikal, flos pergigian dan perlindungan matahari. Beberapa kajian telah menunjukkan pengesahan diri sendiri boleh lebih berkesan bagi mereka yang paling sukar digesa untuk mengesahkan diri sendiri seperti mereka yang minum alkohol atau merokok atau yang gemar berjemur bawah matahari untuk menggelapkan kulit (tan).
Kebanyakan kajian adalah tentang pencegahan di kalangan peserta yang muda dan bukan pesakit, tetapi ada juga kajian di kalangan kumpulan pesakit juga. Sebagai contoh, pesakit hemodialisis yang diminta untuk ingat semula kelakuan baik mereka sebelum ini telah menunjukkan penambahbaikan kawalan fosfat dan lebih mematuhi panduan pengambilan cecair selama 12 bulan berikutnya berbanding dengan mereka yang tidak diminta mengingati semula kelakuan baik mereka sebelum ini. Pesakit African American yang hipertensi menunjukkan penambahbaikan pematuhan pengambilan ubat selepas menerima intervensi yang melibatkan komponen pengesahan diri sendiri.
Jadi bagaimanakah anda boleh menggunakan pengesahan diri sendiri secara praktikal? Mari pertimbangkan satu sesi di mana anda ingin menyampaikan satu mesej kesihatan yang mungkin mencabar klien anda, sebagai contoh. tentang kesan bahaya mereka merokok atau tidak mengambil ubat seperti yang dinasihatkan. Jika anda ada 5-15 minit dan tiada masalah literasi, anda boleh cuba latihan pengesahan nilai yang mudah pada permulaan sesi itu. Anda boleh meminta klien anda menulis atau berkongsi tentang nilai mereka yang paling penting dan mengapa ia adalah penting bagi mereka, atau minta klien melengkapkan beberapa skala yang direka untuk mengingatkan tentang nilai mereka. Apabila mereka selesai dengan ini, anda bolehlah menyampaikan mesej kesihatan tentang risiko merokok atau tidak mematuhi panduan pengambilan ubat.
Jika ada isu dengan masa atau literasi, terdapat satu borang soal selidik kebaikan yang telah banyak digunakan untuk menggalakkan pengesahan diri. Beberapa teknik ringkas yang lain juga ada yang baru-baru ini disediakan. Ini termasuk usaha-usaha untuk meringkaskan pengesahan nilai kepada beberapa ayat utama, untuk menggunakan borang soal selidik nilai, untuk mengintegrasikan pengesahan dengan mesej kesihatan atau membantu orang membentuk niat untuk mengesahkan diri bila diancam. Walaubagaimanapun, teknik-teknik ini hanya telah digunakan dalam beberapa kajian sahaja dan tidak diketahui betapa berkesannya teknik-teknik ini.
Anda boleh melihat ini di resource page di laman web Self-Affirmation Research Group (SARG) di University of Sussex (versi Bahasa Inggeris). Kami juga boleh membantu anda dengan sumber-sumber ini ataupun teknik pengesahan diri lain yang anda mungkin sedang pertimbangkan.
Tip-tip amalan
- Bila patut saya menggunakan pengesahan diri sendiri?
Cuba gunakan pengesahan diri sendiri apabila anda ingin menyampaikan mesej yang penting tentang kesihatan klien anda yang anda rasa mereka akan mengabaikan atau menolaknya. Dalam kes sebegini, pengesahan diri sendiri boleh meningkatkan kemungkinan klien anda menerima mesej kesihatan itu dan mengambil langkah-langkah yang diperlukan.
- Bagaimanakah cara yang terbaik untuk menggunakan pengesahan diri sendiri?
Ia mungkin paling baik untuk menggunakan pengesahan diri sendiri apabila bekerja dengan seorang klien sahaja ataupun di dalam kumpulan yang kecil, dan bila anda ada banyak masa yang terluang. Dalam kes sebegini, anda boleh mulakan dengan menyampaikan mesej kesihatan dengan menggunakan teknik pengesahan nilai yang pernah dicuba dan dikaji. Sila rujuk resources page di laman web SARG untuk contoh bahan rujukan (versi Bahasa Inggeris).
Bincang dengan klien anda samada mereka lebih suka melakukan pengesahan diri sendiri secara bersendirian ataupun dengan anda. Cuba galakkan mereka untuk memilih membuat latihan pengesahan diri dan bukannya memaksa mereka untuk melakukannya. Ada bukti yang menunjukkan kebebasan untuk memilih adalah penting untuk membantu intervensi itu berkesan.
- Apakah yang perlu saya berhati-hati?
Pastikan mesej kesihatan anda adalah menyakinkan. Pengesahan diri sendiri patut menggalakkan klien anda untuk lebih terbuka mindanya, ini bermakna mereka lebih bersedia untuk menerima mesej yang kukuh, tetapi juga mungkin lebih bersedia untuk menolak mesej lemah.
Gunakan pengesahan diri sendiri untuk klien yang anda yakin akan melawan mesej anda. Terdapat beberapa bukti yang menunjukkan pengesahan diri sendiri mungkin tidak akan berkesan atau boleh menjadi tidak produktif jika peserta adalah tidak defensif pun.
Jika anda tidak pasti, sila dapatkan nasihat – kami sedia membantu.
Diterjemahkan oleh Darlina Hani Fadil Azim.