Meningkatkan penyampaian nasihat ringkas tentang alkohol dalam penjagaan primer: pandangan dari doktor dan pesakit

Oleh Amy O’Donnell, Newcastle University, UK.

Tahap pengambilan alkohol telah turun baru-baru ini di beberapa bahagian Eropah, terutamanya di kalangan orang muda. Walau bagaimanapun, pengambilan alkohol yang berlebihan tetap menjadi faktor risiko utama kesihatan yang buruk dan juga kematian awal. Memberi nasihat ringkas kepada mereka yang dikenalpasti sebagai peminum berat dapat membantu mengurangkan jumlah pengambilan alkohol, terutamanya jika disampaikan oleh pengamal perubatan penjagaan kesihatan primer seperti pengamal perubatan awam atau jururawat. Nasihat ringkas tentang alkohol melibatkan perbincangan berstruktur yang pendek, berdasarkan bukti, yang bertujuan untuk memotivasi dan menyokong pesakit untuk mempertimbangkan perubahan dalam tingkah laku minum mereka untuk mengurangkan mengurangkan kemudaratan. Kami masih belum mengenal pasti kandungan utama perbualan ini, tetapi memberikan maklum balas yang diperibadikan mengenai pengambilan alkohol pesakit, dan mendorong mereka untuk memantau sendiri minuman mereka, nampaknya merupakan pendekatan yang sangat berkesan.

Walau bagaimanapun, mendapatkan rawatan dan intervensi berdasarkan bukti dalam penjagaan kesihatan rutin adalah proses yang perlahan dan sukar. Beberapa anggaran menunjukkan bahawa secara purata ia memerlukan 17 tahun untuk penemuan penyelidikan diintegrasikan ke dalam amalan klinikal harian. Setelah tiga dekad penyelidikan, 70+ percubaan terkawal secara rawak, dan pelbagai tinjauan kajian yang diterbitkan, nasihat ringkas tentang alkohol masih belum disampaikan secara rutin dalam sistem penjagaan kesihatan primer global. Untuk memahami mengapa nasihat ringkas tentang alkohol tidak sepenuhnya disatukan dengan penjagaan kesihatan primer, kita perlu mempertimbangkan pelbagai perspektif yang berbeza mengenai masalah ini, termasuk pandangan mereka yang memberikan rawatan kesihatan (doktor), dan mereka yang menerimanya (pesakit).

Jadi, apakah cabaran yang dihadapi oleh mereka yang terlibat dalam menyampaikan dan menerima nasihat ringkas tentang alkohol dalam penjagaan kesihatan primer?

Beberapa masalah umum yang dibangkitkan oleh doktor dan jururawat adalah seperti tidak mempunyai cukup waktu, latihan, atau sumber kewangan untuk menyampaikan nasihat alkohol kepada pesakit mereka. Walau bagaimanapun, memberikan bayaran tambahan kepada doktor untuk tugas alkohol tidak semestinya strategi pelaksanaan yang berkesan. Satu kajian baru-baru ini mendapati bahawa memperkenalkan insentif kewangan untuk nasihat alkohol dalam penjagaan kesihatan primer Inggeris hampir tidak memberi kesan pada kadar panyampaian. Penyelidikan lain menunjukkan bahawa sikap dan kepercayaan doktor mengenai relevansi, kepekaan, dan nilai keseluruhan untuk membincangkan alkohol dalam perundingan pesakit rutin dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam mempengaruhi amalan klinikal mereka. Sebagai contoh, beberapa doktor meragui bahawa pesakit mereka akan menerima nasihat mengenai perubahan tingkah laku minum mereka, terutama peminum yang sangat berat. Ini sebahagiannya disebabkan oleh kurangnya kepercayaan terhadap keberkesanan terapi psikologi untuk pengambilan alkohol yang berlebihan, tetapi juga kerana doktor bimbang bahawa mereka mungkin menyinggung perasaan pesakit dengan membangkitkan topik minum terlebih dahulu.

Tidak banyak kajian yang telah meninjau perspektif pesakit mengenai isu-isu ini. Kajian melaporkan bahawa kebanyakan orang berpendapat bahawa ia boleh diterima jika doktor atau jururawat bertanya mengenai pengambilan alkohol mereka, dan melihat nasihat gaya hidup seperti itu sebagai bahagian penting dalam penjagaan kesihatan, terutama bagi mereka yang mempunyai keadaan kesihatan yang berkaitan dengan pengambilan alkohol. Bagaimanapun, seperti beberapa doktor, pesakit juga kurang yakin bahawa peminum berat akan terbuka untuk bercakap mengenai pengambilan alkohol mereka secara jujur dengan doktor.

Namun cabaran yang lebih besar ialah banyak pesakit menunjukkan kesedaran yang terhad mengenai tahap minum mereka sendiri. Ini sebahagiannya kerana mengira berapa banyak alkohol sebenarnya dalam segelas wain atau gin dan tonik itu agak sukar, dan mudah untuk hilang kiraan ketika anda menuangkan minuman tanpa ukuran standard di rumah.

Tetapi bagi sebilangan besar daripada kita, pengambilan alkohol tidak dilihat dari segi peningkatan risiko kita terhadap penyakit tertentu (seperti cara doktor, pengamal kesihatan awam atau ahli epidemiologi melihat tabiat minum), tetapi peranan utama yang dimainkan oleh alkohol dalam keseronokan dan perayaan. Ini bermaksud bahawa beberapa pesakit mungkin enggan menyedari bahawa mereka minum terlalu banyak, dan / atau mempersoalkan mengapa pengamal penjagaan kesihatan mereka meminta mereka untuk mengurangkannya. Terkait dengan masalah ini, pesakit memberitahu kami bahawa mereka sudah melakukan pelbagai strategi untuk membatasi minum mereka, tetapi melihatnya berdasarkan ‘pelajaran hidup’ yang dipelajari dari keluarga, rakan, dan kumpulan sosial mereka sendiri. Oleh itu, sebilangan pesakit menganggap terdapat hanya faedah yang terhad dalam nasihat yang mungkin ditawarkan oleh doktor atau jururawat mengenai tabiat minum mereka, yang pada mereka kelihatan seperti terasing dari kehidupan sebenar mereka.

Cadangan praktikal

Jadi, bagaimana dapat kita menggunakan semua pandangan, persepsi, dan pengalaman ini untuk meningkatkan pelaksanaan nasihat ringkas tentang alkohol dalam penjagaan kesihatan primer?

  • Pertama, yakinlah bahawa tidak mengapa bertanya tentang minum. Cuma terdapat sedikit bukti bahawa pesakit akan tersinggung jika anda bertanya tentang tabiat minum mereka.
  • Pastikan anda mengemukakan soalan mengenai ‘bagaimana’ dan ‘mengapa’ pesakit benar-benar minum, dan bukan sekadar ‘berapa’. Ini akan meningkatkan relevansi dan makna setiap nasihat yang anda berikan, dengan mengakui nilai sosial dan budaya yang membentuk tabiat minuman pesakit.
  • Seterusnya, berdasarkan apa yang pesakit memberitahu anda mengenai situasi di mana mereka kemungkinan besar akan minum dengan banyak, bantu mereka untuk mengembangkan strategi pencegahan yang secara khusus disasarkan untuk saat-saat kritikal yang berisiko. Cuba bina strategi ini selaras dengan taktik yang dianggap berkesan oleh ramai pesakit. Contohnya, cuba mengehadkan minum dalam keadaan tertentu, seperti di rumah, ataupun apabila berada dengan kumpulan sosial tertentu, seperti kanak-kanak.
  • Akhirnya, memandangkan waktu klinik selalu terhad, fokuslah untuk menyampaikan nasihat ringkas tentang alkohol kepada pesakit yang mengalami penyakit yang berkaitan dengan pengambilan alkohol yang berlebihan, seperti tekanan darah tinggi, penyakit mental, atau masalah gastrik. Ini akan membantu mengoptimumkan penggunaan sumber yang berharga, dan mungkin juga dapat diterima dan digunapakai oleh pesakit itu sendiri.

Diterjemahkan oleh Darlina Hani Fadil Azim