Rumusan dari sains tingkah laku untuk pandemik COVID-19

Oleh Shane Timmons, Institut Kajian Ekonomi dan Sosial, Ireland

Kerajaan seluruh dunia sedang giat mencuba untuk mengawal penyebaran novel coronavirus, di mana tingkah laku individu adalah penting untuk kejayaan usaha ini. Kami – Unit Kajian Tingkah Laku di Institut Kajian Ekonomi dan Sosial di Dublin – sedang bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Ireland untuk memberi input tentang rancangan tindakbalas COVID-19 mereka. Kami telah menyemak lebih dari 100 kajian saintifik dan telah mula menguji kaedah yang terbaik untuk berkomunikasi dengan orang awam, dan menyediakan garis panduan untuk pengamal psikologi kesihatan. Fokus kajian kami adalah dalam tiga aspek yang membentuk asas mesej kesihatan awam di banyak negara: kebersihan tangan, sentuhan muka dan pengasingan diri. Kami juga melihat kajian tentang kaedah untuk menggalakkan tingkah laku yang membantu dan cara berkomunikasi yang berkesan semasa waktu krisis.

Kebersihan tangan

Terdapat banyak kajian tentang cara-cara untuk menambahbaik kebersihan tangan di dalam sektor kesihatan. Terdapat bukti kukuh yang menyatakan pendidikan dan kesedaran adalah tidak mencukupi, tetapi perubahan kecil kepada keadaan persekitaran boleh menjadi sangat berkesan. Perhatian yang lebih kepada pensanitasi tangan (hand sanitizer) beralkohol, dengan menempatkan pensanitasi tangan di laluan umum dan menggunakan tanda-tanda dengan warna yang terang, dapat meningkatkan penggunaannya, dan adalah lebih berkesan dari sekadar menambah bilangan pensanitasi tangan itu. Menyarankan penggunaan pensanitasi tangan sebagai sesuatu yang biasa atau normal untuk dilakukan, turut membantu. Soalan seperti “sudahkah anda menggunakan pensanitasi tangan?” kepada pesakit atau pelawat – adalah cara yang mudah untuk membiasakan penggunaannya. Adalah amat penting untuk menggalakkan tabiat ini sekarang dan terus mengekalkannya setelah tamat sekatan pergerakan nanti. 

Penyentuhan muka

Berbeza dengan kajian kebersihan tangan, kami tidak menjumpai sebarang ujian intervensi untuk mengurangkan penyentuhan muka. Meningkatkan kesedaran sahaja mungkin tidak berkesan: membuat orang berfikir tentang menyentuh muka mungkin akan meningkatkan lagi kadar penyentuhan muka. Dengan ketiadaan intervensi, pengamal psikologi kesihatan boleh bergantung kepada model perubahan tingkah laku yang umum seperti Behaviour Change Wheel, Intervention Mapping atau EAST Framework. Kami, bersama pengkaji lain telah mencadangkan untuk menguji cara menggantikan penyentuhan muka dengan alternatif lain (cth., menggunakan lengan baju atau tisu), dan bukan sahaja dengan hanya tidak menggalakkan penyentuhan muka.

Pengasingan

Pengasingan diri oleh individu dengan simptom ataupun pernah berdekatan dengan pesakit yang berjangkit boleh menyelamatkan nyawa, tetapi boleh juga menyebabkan kesan psikologi yang negatif. Pengasingan sosial dan kesunyian boleh memberi kesan kepada kesihatan seseorang setara dengan faktor-faktor risiko yang lain seperti merokok. Sebanyak 24 kajian ke atas individu yang telah dikuarantin semasa wabak penyakit berjangkit sebelum ini mendapati bahawa terdapat risiko yang berpanjangan selepas waktu pengasingan diri, termasuklah insiden kemurungan yang bertambah sehingga ke tiga tahun seterusnya. Pengamal kesihatan lebih terdedah kepada risiko, kerana kesan psikologi yang negatif boleh ditambahkan lagi kerana bimbang tidak dapat memberi sokongan kepada rakan sekerja ataupun pesakit semasa waktu wabak itu. Pihak berkuasa perlu menyediakan perkhidmatan kesihatan mental tambahan yang boleh diakses dari jauh, terutamanya untuk golongan yang memerlukan. Membantu individu untuk merancang pengasingan diri dapat membantu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pelbagai perkhidmatan kesihatan negara, seperti NHS di UK, memperoleh cadangan untuk membantu individu dalam menangani masalah mereka, termasuklah untuk menjaga hubungan dengan orang lain melalui telefon atau dalam talian, bersenam jika mereka mampu serta mengekalkan rutin harian.

Menggalakkan tingkah laku yang membantu

Kesan daripada jangkitan COVID-19 adalah berbeza untuk setiap individu. Golongan berumur dan mereka yang berpenyakit mempunyai risiko yang lebih besar daripada mereka yang lebih muda dan lebih sihat. Namun tahap kesihatan mereka yang paling berisiko bergantung bukan hanya pada tingkah laku mereka sendiri tetapi juga pada tingkah laku orang lain. Terdapat bukti kukuh yang menunjukkan bahawa tindakan yang memberi manfaat kepada individu itu tidak semestinya memberi manfaat kepada kumpulan yang lebih besar. Komunikasi yang berkesan adalah penting. Menggalakkan identiti kumpulan menggunakan bahasa seperti “kita bersama-sama menghadapi ini” akan membuat orang lebih bersemangat untuk bekerjasama, serta akan menolak tingkah laku yang negatif (contohnya, pembelian panik). Eksperimen menunjukkan bahawa menonjolkan pengorbanan orang lain menggalakkan sifat membantu. Dan semakin banyak bukti yang menguji strategi komunikasi COVID-19 menunjukkan bahawa menonjolkan risiko kepada orang lain dan rayuan prososial untuk mengelakkan “menyebarkan” virus itu mungkin lebih berkesan daripada hanya memberikan nasihat atau mesej tentang bagaimana untuk menghindari “mendapatkan” virus itu.

Memaklumkan Maklumat Krisis

Psikologi komunikasi risiko menonjolkan prinsip-prinsip tambahan yang mungkin berguna bagi pengamal yang berkomunikasi dengan pesakit dan klien mengenai pandemik COVID-19. Kepantasan, kejujuran dan kredibiliti adalah penting. Secara amnya, para pengamal boleh mengakui ketidakpastian dan empati mereka sendiri untuk kesulitan yang akan dihadapi oleh orang-orang semasa krisis, sambil menekankan juga kegunaan tindakan individu bagi mengimbangi kebimbangan orang untuk terus bersikap optimistik.

Mencegah penyebaran COVID-19 memerlukan sumbangan dari pelbagai bidang sains. Teori dan kaedah dari sains tingkah laku boleh memainkan peranan yang penting. Pra-ujian yang pantas untuk pengesahan sains tingkah laku melalui eksperimen berkualiti tinggi akan menjadi penting untuk memaksimumkan manfaatnya.

Cadangan Praktikal

  • Meningkatkan kebersihan tangan dengan menggabungkan kempen kesedaran dengan pensanitasi tangan yang mudah didapati, dan papan tanda yang menunjukkan penggunaan pensanitasi tangan adalah sesuatu yang biasa dan normal untuk dilakukan
  • Pesanan agar individu untuk tidak menyentuh muka adalah mungkin tidak mencukupi – kita juga perlu mengubah persekitaran fizikal dan sosial untuk mengubah tingkah laku, contohnya dengan mewujudkan norma baru untuk tingkah laku penggantian seperti menyentuh muka dengan lengan baju atau memastikan tisu sentiasa ada.
  • Membantu inidvidu dalam mengekalkan hubungan sosial dan mengekalkan rutin harian dapat membantu menangani kesan psikologi negatif akibat pengasingan diri, serta sokongan tambahan untuk kesihatan mental juga diperlukan.
  • Menekankan bagaimana masalah yang dihadapi adalah masalah semua orang dan tekankan risiko yang dihadapi oleh golongan yang lemah bagi menggalakkan tingkah laku membantu – tetapi jangan abaikan pula tingkah laku yang tidak membantu.
  • Dalam menangani penyebaran COVID-19, pastikan terdapat keseimbangan di antara kerisauan individu untuk bersikap optimistik dengan keberkesanan tindakan mereka.

[Diterjemahkan oleh Darlina Hani Fadil Azim, Perdana University, Malaysia]