Jangan jadi seperti burung unta! Manfaat membantu orang untuk memantau kemajuan mereka

Oleh Thomas L. Webb, Department of Psychology, The University of Sheffield, the UK

Bagaimanakah kemajuan anda dengan matlamat anda untuk mengurangkan jumlah gula yang anda makan dan mengurangkan berat 10kg? Kemungkinannya anda tidak tahu – atau tidak mahu tahu. Dalam situasi begini, ramai akan berkelakuan seperti si burung unta dan menenggelamkan kepala mereka di dalam pasir, sengaja mengelakkan atau menolak maklumat yang dapat membantu mereka memantau kemajuan matlamat mereka. Kajian ke atas “masalah burung unta” ini mencadangkan bahawa orang sering tidak menjejaki kemajuan mereka (cth. menimbang berat badan, membaca paket makanan yang mereka beli), sebahagiannya, kerana dengan membuat demikian mereka sedar mereka lebih berat dari yang dijangkakan dan masih mengambil terlalu banyak gula. Walaubagaimanapun, teori dan bukti menunjukkan bahawa menjejaki kemajuan dapat membantu orang untuk mengenalpasti percanggahan antara keadaan semasa mereka dan matlamat mereka yang memerlukan tindakan. Implikasinya ialah mengelakkan pemantauan akan menjadikan ia lebih sukar untuk mengenalpasti keperluan untuk bertindak dan cara yang paling sesuai untuk berbuat demikian. Maka masalah burung unta ini merupakan peluang untuk para profesional kesihatan (dan lain-lain) untuk membantu orang untuk memantau kemajuan mereka dan mendapatkan manfaat dari situ. Mungkin tidak menghairankan, kami mendapati bukti yang menunjukkan bahawa dorongan untuk memantau kemajuan mereka dapat membantu orang ramai untuk mencapai matlamat mereka yang merentasi pelbagai domain.

Pemantauan melibatkan mengenalpasti keadaan semasa (cth., Berapa banyak gula yang diambil pada hari tersebut, bila, dan di mana) dan membandingkannya dengan sesuatu matlamat atau nilai rujukan (cth., Maksimum 6 sudu teh gula setiap hari). Ini boleh dilakukan dalam satu diari atau di atas kertas, tetapi terdapat juga alat digital yag boleh membantu orang untuk memantau kemajuan mereka – malah ada yang sudah mula bercakap tentang sesuatu yang dipanggil “kuantitatif kendiri” (“the quantified self”). Sebagai contoh, telefon pintar kita merekod secara automatik berapa langkah yang diambil setiap hari, jam kita memberitahu berapa lama atau berapa bagus tidur kita, dan ada juga yang menggunakan aplikasi untuk mengimbas kod bar pada pembungkusan makanan untuk mengetahui nilai nutrisi makanan tersebut. Kebanyakan peranti ini juga meminta kita untuk menetapkan matlamat dan kemudian membandingkan kemajuan kita ke arah matlamat ini. 

Penggunaan alat-alat ini untuk memantau kemajuan dapat membantu orang ramai untuk mengenalpasti bila dan cara terbaik untuk mengambil tindakan. Sebagai contohnya, mengimbas kod bar di pembungkusan makanan dapat membantu seseorang yang sedang cuba untuk mengurangkan  pengambilan gula menyedari berapa banyak gula terdapat di dalam segelas jus oren atau semangkuk bijirin sarapan, dan dapat membantu mereka mengenalpasti (dan bertukar kepada) alternatif yang mengurangkan pengambilan gula. Oleh itu, pemantauan boleh membentuk asas intervensi yang dapat direka untuk membantu orang ramai mencapai matlamat kesihatan. Selain itu, terdapat bukti bahawa pemantauan lebih berkesan jika digabungkan dengan teknik yang membantu orang ramai untuk menetapkan matlamat yang sesuai untuk memantau kemajuan dan mengambil tindakan jika dan bila pemantauan mengenalpastikan bahawa ia diperlukan – contohnya, perancangan jika-kemudian (if-then planning).

Memandangkan orang ramai mungkin bertindak defensif terhadap maklumat yang mereka terima (contohnya, jika mereka merasakan maklumat itu tidak mencerminkan tingkah laku kebiasaan mereka, atau peranti pemantauan itu mestilah tidak tepat), teknik psikologi seperti penegasan diri (self-affirmation – menggalakkan orang ramai untuk menekankan aspek yang menghargai diri mereka sendiri) juga boleh membantu orang untuk menilai dengan tepat maklumat dan implikasi maklumat tersebut.

Cadangan praktikal

Pemantauan kemajuan sering hanya melibatkan pengenalpastian kaedah untuk mengawasi kelakuan dan/atau hasil (cth., Aplikasi atau buku harian) dan berkomitmen untuk menggunakannya. Bagaimanapun, seperti yang diterangkan di atas, kebanyakan orang sering menenggelamkan kepala mereka di dalam pasir dan tidak memantau kemajuan mereka. Anda mungkin dapat:

  • Membantu mengenal pasti apa yang harus dipantau. Contohnya, jika mereka cuba menurunkan berat badan, pertimbangkan sama ada ia lebih baik memantau tingkah laku seperti aktiviti fizikal, atau pengambilan makanan; hasil seperti berat badan atau lilitan pinggang; atau gabungan kedua-duanya? Kajian kami menunjukkan bahawa orang ramai harus digalakkan untuk memantau apa sahaja yang ingin mereka ubah: baik hasil, tingkah laku atau keduanya.
  • Membantu secara objektif dengan menelaah maklumat yang diperoleh melalui pemantauan. Bukti menunjukkan bahawa strategi penegasan diri boleh menghalang orang daripada menjadi defensif mengenai maklumat yang mereka terima. Sekiranya anda mengesyaki bahawa seseorang itu mungkin bertindak balas secara negatif terhadap tingkah lakunya atau maklumat yang dipantau, maka galakkan mereka untuk mengesahkan aspek penilaian diri sendiri (cth., mereka adalah orang yang baik dan bertimbangrasa) sebelum memantau kemajuan mereka supaya ia dapat membantu mereka menerima maklumat itu.
  • Menyokong dalam membuat perubahan yang dicadangkan oleh pemantauan. Mengenalpasti keperluan untuk bertindak dan motivasi untuk berbuat demikian hanyalah langkah pertama dalam membuat perubahan. Oleh kerana mereka mungkin memerlukan pertolongan untuk menterjemahkan niat baik mereka kepada tindakan, mendorong mereka untuk membuat perancangan jika-kemudian (if-then plans) yang menentukan bila, di mana, dan bagaimana mereka akan bertindak. Sebagai contoh, seseorang yang mengenalpasti bahawa mereka makan terlalu banyak gula mungkin membuat rancangan “Jika saya makan sarapan pagi, saya akan makan oat, dan bukannya bijirin sarapan (cornflakes)“.

Diterjemahkan oleh: Darlina Hani Fadil Azim, Perdana University, Malaysia.