Oleh Keegan Knittle, University of Helsinki, Finland
Ini adalah kisah yang sering didengari daripada penjagaan primer: seorang individu yang sememangnya akan mendapat manfaat daripada aktiviti fizikal telah datang ke klinik. Kami telah berbincang tentang aktiviti fizikal mereka, dan di akhir perbincangan, beliau kata beliau tidak bermotivasi untuk mengubah. Apakah yang patut dilakukan oleh seorang pengamal perubatan? Bagaimana kita boleh memberi motivasi kepada individu ini untuk sekurang-kurangnya mempertimbangkan untuk mengubah tingkahlaku untuk kebaikan mereka? Atau lebih bagus lagi, bagaimana kita boleh membantu mereka untuk membentuk niat supaya menjadi lebih aktif?
Dalam konsultasi dengan individu yang “tidak bermotivasi”, para pengamal perubatan kebiasaannya akan bermula dengan memberikan maklumat tentang faedah-faedah aktiviti fizikal. Mereka juga akan menasihati individu tersebut untuk menjadi lebih aktif, tetapi dengan berbuat demikian, mungkin terlupa untuk mengambil kira jenis senaman yang digemari oleh individu tersebut. Walaupun usaha-usaha untuk memberi maklumat dan nasihat ini berniat baik, ia kemungkinan besar tidak akan membawa sebarang perubahan yang sebenar. Malahan, jika 26 orang yang tidak aktif menerima nasihat tentang aktiviti fizikal, kemungkinan besar hanya seorang sahaja yang akan mencapai tahap aktiviti fizikal yang disarankan.
Para pengamal perubatan lain mungkin akan mengambil langkah seterusnya dalam nasihat mereka, dan mendesak individu untuk berubah dengan mengatakan sesuatu seperti “anda perlu berubah” atau “anda perlu menjadi lebih aktif SEKARANG.” Pendekatan yang lebih tegar terhadap galakan aktiviti fizikal ini mungkin akan berkesudahan sebaliknya, dan berfungsi untuk meningkatkan daya tahan seseorang untuk tidak berubah. Dalam situasi yang ekstrem, pengamal perubatan mungkin akan cuba untuk menakutkan seseorang untuk berubah, dengan menyenaraikan kesan-kesan sampingan kesihatan jika tidak berubah. Usaha untuk menakutkan seseorang untuk berubah selalunya tidak berkesan, kecuali jika individu tersebut melihat diri mereka berupaya untuk membuat perubahan. Jadi persoalan yang masih ada: Apakah cara terbaik untuk memotivasikan seseorang bagi meningkatkan aktiviti fizikal mereka?
Pada tahun 2018, kumpulan kami telah menerbitkan satu kajian meta-analysis besar untuk menjawab soalan ini. Pertama sekali kami telah melihat lebih dari 100 intervensi promosi aktiviti fizikal yang berbeza. dan mengenalpasti teknik perubahan tingkahlaku yang terdapat dalam setiap satunya. Kemudian, kami cuba untuk mengenalpasti teknik perubahan tingkahlaku yang mana membawa kepada peningkatan motivasi untuk aktiviti fizikal. Hasilnya menunjukkan dua kumpulan utama teknik perubahan tingkahlaku yang kelihatan seperti meningkatkan motivasi.
Kumpulan pertama terdiri daripada teknik-teknik pengawalseliaan sendiri. Dalam analisis kami, teknik-teknik pengawalseliaan sendiri (cth. Pemantauan sendiri tahap aktiviti fizikal, mendapat maklumbalas terhadap prestasi, menetapkan matlamat aktiviti fizikal, membuat perancangan tindakan dan menggunakan strategi penyelesaian masalah untuk menangani halangan terhadap aktiviti fizikal) semuanya mempunyai kesan terhadap motivasi. Tambahan pula, intervensi menggunakan pemantauan sendiri beserta sekurang-kurangnya satu lagi teknik pengawalseliaan sendiri meningkatkan motivasi lebih daripada intervensi lain. Kajian-kajian sebelum ini telah menunjukkan bahawa teknik pengawalseliaan sendiri adalah amat penting dalam mengubah tingkahlaku (cth., aktiviti fizikal, diet, merokok) dan kajian kami menunjukkan ia adalah penting dalam meningkatkan motivasi juga. Oleh itu, mendapatkan orang untuk mencuba beberapa teknik pengawalseliaan diri boleh membantu mereka untuk menjadi lebih aktif dan berasa lebih bermotivasi.
Kumpulan kedua terdiri daripada teknik-teknik perubahan tingkahlaku yang berkaitan dengan penglibatan mereka dalam kelas senaman, termasuk arahan tentang bagaimana untuk melakukan aktiviti fizikal, demonstrasi, dan peluang untuk mengamalkan cara-cara baru aktiviti fizikal. Intervensi yang menggunakan set teknik ini, dan intervensi yang diberikan kepada individu atau kumpulan, membawa kepada peningkatan motivasi terhadap aktiviti fizikal. Ini mungkin disebabkan oleh sokongan sosial yang diterima daripada pelatih, atau daripada peluang untuk membuat perbandingan sosial (dan bergembira) yang diberikan oleh peserta lain dalam kelas. Walaupun ia agak menakutkan bagi seseorang yang tidak aktif untuk terus masuk ke dalam kelas senaman dengan segera, terdapat peluang yang baik bagi mereka yang melakukannya akan dapat meningkatkan motivasi mereka untuk menjadi aktif.
Kesimpulannya, tiada cara yang 100% berjaya dapat memberi motivasi kepada seseorang untuk menjadi aktif secara fizikal, tetapi penyelidikan kami mencadangkan bahawa dengan memupuk pengawalseliaan sendiri dan penglibatan dalam kelas senaman mungkin satu permulaan yang bagus. Jadi sekiranya anda menghadapi klien atau pesakit yang boleh mendapat manfaat dengan menjadi lebih aktif, cuba beberapa tip praktikal di bawah. Ia mungkin tidak memberi kesan kepada semua individu, tetapi sekurang-kurangnya ia akan memberi anda beberapa alatan lebih untuk digunakan dalam usaha anda untuk memotivasi orang lain. Selamat bermotivasi!
Saranan praktikal
- Pantau. Minta individu untuk menjejak tahap aktiviti fizikal mereka menggunakan aplikasi, penjejak aktiviti, atau diari bertulis. Tawarkan mereka senarai pilihan untuk pengawalseliaan sendiri yang disarankan oleh anda.
- Semakan. Pastikan individu menyemak pemantauan sendiri mereka untuk melihat sama ada mereka seaktif yang mereka fikirkan, dan untuk mengenalpasti masa di mana aktiviti fizikal mungkin dapat diselitkan dalam jadual mereka.
- Tetapkan matlamat dan lakukan perancangan. Pastikan individu menetapkan matlamat aktiviti yang realistik mengikut apa yang sedang mereka lakukan (daripada langkah 1 dan 2 di atas), dan untuk membuat perancangan tentang bila, di mana dan bagaimana mereka akan mencapainya.
- Lakukan sahaja. Memberikan individu senarai pelbagai kelas aktiviti fizikal, sukan dewasa atau taman-taman di kawasan berdekatan, dan membantu mereka memilih peluang untuk aktiviti yang paling menarik bagi mereka. Juga, mengakui bahawa untuk memulakan sesuatu sememangnya sukar, tetapi dengan melakukannya boleh membantu membuatkan mereka rasa lebih bermotivasi.
- Fokus pada motivasi. Maklumkan kepada mereka bahawa adalah normal untuk rasa tiada motivasi, dan bukti kajian telah menyarankan bahawa strategi-strategi ini boleh membantu mereka menjadi lebih aktif dan pada masa yang sama meningkatkan motivasi mereka.
[Diterjemah oleh Anne Jamaludin]