Sokongan Sosial dan tingkahlaku sihat: Bagaimana untuk berubah daripada “berniat baik” kepada “bantuan berkemahiran”

Penulis: Urte Scholz, University of Zurich & Gertraud (Turu) Stadler, University of Averdeen

Sokongan sosial dilihat secara eksklusifnya – sebagai sesuatu yang positif. Apa salahnya dengan bantuan, bukan? Mempunyai seseorang yang boleh masak untuk anda apabila anda dalam usaha mengubah pemakanan yang lebih sihat, atau ditenangkan oleh seseorang apabila anda berasa sedih kerana usaha anda untuk berhenti merokok tidak berjalan seperti yang diingini? Senario ini sebenarnya sedikit sebanyak mungkin telah membuatkan anda rasa niat yang baik daripada seseorang sahaja adalah tidak mencukupi. Pasangan anda yang menyediakan masakan sihat untuk anda atau kakak anda berkongsi tip-tip diet mungkin juga membuatkan anda merasakan bahawa mereka lebih tahu apa yang lebih baik untuk anda berbanding diri anda sendiri. Adakah anda meminta bantuan dari mereka? Adakah mereka tidak mempercayai kebolehan diri anda untuk makan secara sihat tanpa bantuan mereka? Jadi, adakah sokongan untuk mengubah kelakuan seseorang itu sentiasa baik dan positif? Teks ini bertujuan untuk membantu pengamal menasihatkan klien mereka bagaimana untuk mendapatkan sokongan sosial yang berguna. Mari kita mulakan dengan memahami apa itu sokongan sosial.

Apakah sokongan sosial?

Sokongan sosial ialah bantuan yang diberikan oleh individu kepada seseorang yang berhadapan dengan masalah atau cabaran – contohnya seseorang yang sedang cuba mengamalkan pemakanan yang lebih sihat. Sokongan bertujuan untuk menyelesaikan masalah atau sekurang-kurangnya mengurangkan tekanan berkaitan dengan masalah tersebut. Ada 3 cara sokongan sosial yang sesuai: Sokongan emosi – seperti memujuk seseorang dan membuatkan mereka rasa disayangi, difahami dan diambil berat apabila mereka rasa tertekan dengan kepayahan untuk makan secara sihat. Cara yang kedua ialah sokongan praktikal; iaitu, mengambil jalan yang lebih konkrit untuk membantu seseorang seperti membelikan makanan yang sihat. Cara yang ketiga ialah sokongan informasi, seperti memberikan tip-tip bagaimana untuk makan lebih sayur-sayuran. Walaupun sokongan boleh diberikan oleh sesiapa sahaja, kajian telah mendapati bahawa kebanyakan sokongan datang daripada orang yang rapat, seperti pasangan kekasih, keluarga dan sahabat. Sumber sokongan yang penting untuk mereka yang mempunyai masalah kesihatan adalah pakar kesihatan dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan yang sama.

Terdapat dua jenis sokongan, samada sokongan yang anda jangkakan pada masa hadapan atau sokongan yang anda sebenarnya perolehi pada masa lalu. Individu boleh berfikir dan menjangkakan sokongan yang ingin diterima daripada orang lain untuk situasi yang tertekan pada masa hadapan. Contohnya, perokok yang berniat untuk berhenti merokok boleh membayangkan sokongan yang akan ditawarkan kepadanya daripada orang lain. Jenis sokongan ini dinamakan sokongan tanggapan (perceived support). Ia lebih berkaitan kepada pandangan optimistik individu terhadap masa hadapan berbanding transaksi sokongan yang sebenar. Sokongan tanggapan kelihatan ideal, kerana sokongan yang dijangka itu tidak semestinya diuji dengan situasi yang mencabar. Cara kedua adalah bertanya kepada individu, sokongan apakah yang diperolehinya terhadap sesuatu masalah. Cara ini adalah laporan retrospektif bagi transaksi sokongan yang sebenar. Contohnya, apakah bantuan yang diperolehi individu pada minggu lepas semasa ia sedang cuba mengamalkan pemakanan sihat. Kedua-dua jenis sokongan ini tidak semestinya berkait di antara satu sama lain. Anda mungkin mengharapkan orang-orang kesayangan anda untuk membantu di saat anda memerlukan, tetapi anda juga mungkin tidak mempunyai memori menerima bantuan semasa anda cuba mengamalkan pemakanan sihat.

Bantuan berkemahiran bagi mengubah tingkahlaku berkaitan kesihatan.

Apabila melihat kepada kajian tentang sokongan sosial dan tingkahlaku berkaitan kesihatan, banyak kajian melaporkan kesan positif sokongan untuk tingkahlaku berkaitan kesihatan. Namun, apabila kami melihat dengan lebih mendalam, kami dapati bahawa banyak kajian ini memfokuskan kepada jenis sokongan yang pertama yang telah dibincangkan tadi; iaitu,sokongan tanggapan (perceived support). Jenis sokongan yang kedua iaitu transaksi sokongan yang sebenar, tidak mendapat perhatian yang banyak di dalam kajian. Jika ada, mereka melaporkan kesan yang bercampur baur. Kesan yang bercampur ini kadangkala adalah hasil kegagalan memperbaiki sokongan di dalam intervensi yang diberikan pada asalnya. Secara keseluruhannya, kelihatan seperti tiada jaminan bahawa sokongan sosial yang berniat baik adalah berguna apabila seseorang sedang cuba untuk mengubah kelakuan kesihatannya. Malahan, kejayaan tindakan sokongan dilihat bergantung kepada:

  • Siapa yang memberi sokongan (kadangkala, bantuan sahabat adalah lebih baik daripada bantuan pasangan).
  • Jantina pemberi sokongan (perempuan kelihatan seperti pemberi sokongan yang lebih baik kepada kedua-dua lelaki dan perempuan).
  • Kesesuaian antara sokongan yang diperlukan dan sumber yang ada
  • Keadaan ia berlaku (samada memberi atau menerima sokongan berada dalam keadaan sama rata atau tidak)

Malah, terdapat beberapa kajian yang menunjukkan bahawa menerima sokongan mungkin memburukkan keadaan. Sokongan mungkin menyumbang kepada rasa sedih atau berasa diri tidak mampu menangani masalah sendiri. Sokongan berkemahiran – sokongan daripada orang lain yang dipercayai yang mampu memenuhi keperluan dan membuatkan individu berasa difahami, dihargai dan dijaga apabila mengubah kelakuan kesihatan – adalah kemungkinan pilihan yang terbaik. Sokongan berkemahiran bergantung kepada kedua-dua pihak berkomunikasi terhadap satu sama lain. Individu yang mahu berubah seharusnya menilai keperluan peribadinya dan menyampaikan keperluan tersebut dengan jelas, dengan mencari sokongan secara aktif daripada individu yang boleh percayai untuk memberi tindakbalas yang sesuai. Si pemberi sokongan seharusnya mempunyai matlamat untuk memenuhi keperluan individu tersebut dengan cara berhemah dan bertindak balas terhadap keperluan penerima.

Cadangan praktikal

Oleh itu, apakah yang perlu kita lakukan untuk memberi sokongan terhadap perubahan kelakuan kesihatan kepada seseorang secara berkesan? Pengamal seharusnya menggalakkan klien mereka untuk mencari sokongan berkemahiran dan berkomunikasi dengan orang-orang yang rapat dengan mereka dan juga dengan pakar kesihatan. Untuk membantu memberi sokongan kepada usaha individu untuk mengubah tingkahlaku kesihatan, adalah disarankan seperti berikut:

  • Menggalakkan individu yang mahu membuat perubahan untuk mencari sokongan daripada orang yang rapat dan dipercayainya, dan bercakap dengan mereka tentang apa yang mungkin boleh membantu. Ini mungkin juga termasuk membiarkannya sendirian!
  • Berlatih dengan klien untuk berkomunikasi tentang keperluan mereka di dalam situasi yang khusus dan memberi cadangan untuk menjadikan sokongan yang diterima lebih berguna dan membantu mereka. Sebagai contoh, pengamal boleh menggunakan “role play” dalam pelbagai senario meminta bantuan atau sokongan. Ini sepatutnya termasuk meningkatkan kepekaan bahawa sokongan adalah perkara yang individual dan tidak selalunya membantu. Oleh itu, individu boleh berlatih memberi bimbingan dan respons yang membina untuk membantu pemberi sokongan memperbaiki transaksi sokongan.
  • Berlatih untuk mengenalpasti sokongan berkemahiran. Oleh kerana mengubah kelakuan seseorang adalah proses yang dinamik, dan keperluannya mungkin berubah dari sehari ke hari; ia mungkin melibatkan adaptasi yang kerap.

Diterjemah oleh Nur Arfah Zaini, Perdana University.