Bagaimana Jika Kanser Kembali? Pertanyaan yang Ada di Fikiran Mereka yang Mengalami Rawatan Kanser dan Orang Tersayang Mereka

Oleh Gozde Ozakinci, Universiti Stirling

Kanser sering dikaitkan dengan statistik yang menakutkan, seperti kenyataan bahawa “1 daripada 2 orang akan mengalami beberapa bentuk kanser dalam hidup mereka.” Namun, terdapat perkembangan memberangsangkan yang menunjukkan kadar kelangsungan hidup kanser semakin meningkat. Pada 2018, hampir 44 juta orang di dunia dilaporkan telah berjaya mengatasi diagnosis dan rawatan kanser. Ini adalah berita baik untuk mereka yang telah melalui pengalaman tersebut.

Peningkatan kadar kelangsungan hidup ini juga bermakna lebih ramai orang hidup dengan kesan sampingan rawatan kanser. Salah satu kesannya ialah ketakutan kanser kembali. Dalam kajian, ia didefinisikan sebagai “ketakutan, kebimbangan, atau kerisauan mengenai kemungkinan kanser akan kembali atau berkembang,” dan ini diakui secara meluas sebagai salah satu isu yang paling signifikan yang memberi kesan kepada kualiti hidup mereka yang pernah didiagnosis dengan kanser.

Adakah ketakutan ini sesuatu kebiasaan?

Menjawab soalan ini tidak mudah kerana kajian menggunakan kaedah kajian yang berbeza untuk mengukur ketakutan terhadap kanser berulang. Kajian sistematik terhadap 130 kajian menunjukkan bahawa secara purata, 49% melaporkan tahap sederhana hingga tinggi untuk ketakutan kanser berulang, dan 7% melaporkan tahap tinggi. Meta-analisis baru-baru ini melaporkan bahawa 1 daripada 5 pesakit dan individu yang terselamat daripada kanser mengalami tahap ketakutan tinggi, menunjukkan keperluan untuk sokongan psikologi. Kajian ini juga menunjukkan ketakutan ini tidak hilang dengan waktu. Wanita, individu lebih muda, dan mereka yang mempunyai pendidikan lebih rendah cenderung mengalami ketakutan lebih tinggi. Salah satu faktor penting yang dikaitkan dengan ketakutan ini ialah gejala fizikal yang disalah tafsir sebagai tanda kanser kembali.

Apakah hubungan ketakutan ini dengan kesejahteraan psikologi?

Individu yang telah sembuh daripada kanser menganggap ketakutan ini sebagai kebimbangan utama atau salah satu daripada lima kebimbangan terbesar. Bukan sahaja ketakutan ini menjadi kebimbangan utama mereka malah  79% melaporkan ketakutan ini sebagai salah satu keperluan yang tidak dipenuhi. Ketakutan terhadap kanser berulang dikaitkan dengan kualiti hidup yang lebih rendah, tahap kebimbangan, kemurungan, dan tekanan yang lebih tinggi. Selain itu, ketakutan ini juga dikaitkan dengan peningkatan penggunaan perkhidmatan kesihatan.

Kajian juga menunjukkan bahawa ketakutan ini bukan sahaja dialami oleh pesakit tetapi juga oleh penjaga mereka di mana48% penjaga melaporkan tahap ketakutan yang memerlukan sokongan psikologi. Dalam beberapa kajian, ketakutan penjaga boleh menjadi setinggi atau lebih tinggi daripada mereka yang telah sembuh daripada kanser, yang menjejaskan kualiti hidup penjaga dan pesakit.

Apakah ciri-ciri tahap klinikal ketakutan kanser berulang?

Ketakutan terhadap kanser berulang adalah fenomena multidimensi. Kajian pakar mencadangkan ciri-ciri utama ketakutan klinikal ini adalah:

  1. Tahap obsesi yang tinggi.
  2. Kebimbangan yang tinggi.
  3. Ketakutan yang berterusan.
  4. Kesedaran berlebihan terhadap gejala tubuh.

Bagaimana cara mengukur ketakutan ini?

Kajian awal mengenal pasti 20 alat ukur untuk ketakutan terhadap kanser berulang, diikuti oleh kajian lain yang mengenal pasti lapan alat tambahan. Inventori Ketakutan Berulang Kanser (Fear of Cancer Recurrence Inventory) adalah alat penilaian mendalam dengan subskala 42 item  terhadap ketakutan ini. Ia mempunyai beberapa subskala, dan subskala keparahan dengan 9 item (9-item Severity sub-scale) adalah yang paling banyak digunakan, dengan titik potong (≥22) untuk mengenal pasti individu yang memerlukan intervensi psikologi. Skala seperti FCR4 dan FCR7 juga digunakan sebagai ukuran yang lebih ringkas dengan peratusan yang disarankan untuk mengenal pasti individu dengan ketakutan sederhana dan tinggi. Untuk mempermudah saringan ketakutan ini, ukuran dengan 1 item juga telah diperkenalkan.

Apakah cara berkesan membantu pesakit kanser mengatasi ketakutan ini?

Meta-analisis terhadap intervensi psikologi untuk ketakutan berulangnya kanser menunjukkan bahawa intervensi ini dapat memberikan kesan kecil tetapi kukuh pada akhir intervensi, yang sebahagian besarnya dapat dikekalkan semasa rawatan susulan. Terapi Tingkah Laku Kognitif (Cognitive Behavioural Therapies) yang memberi tumpuan kepada proses kognisi seperti ruminasi, bukannya kandungan, dan yang bertujuan untuk mengubah cara individu berhubung dengan pengalaman dalaman mereka, menunjukkan kesan yang lebih besar.

Cadangan Praktikal:

  1. Galakkan perbincangan mengenai ketakutan: Sesetengah pesakit mungkin enggan mendekati pegawai kesihatan mereka untuk membincangkan ketakutan mereka terhadap kemungkinan kanser kembali kerana bimbang kelihatan tidak bersyukur.
  2. Berikan maklumat tentang tanda-tanda kanser: Membincangkan tanda-tanda kanser yang mungkin memerlukan perhatian daripada pegawai kesihatan mereka dapat memberikan peluang untuk menghapuskan mitos mengenai gejala kanser.
  3. Jangan lupa orang yang memberi penjagaan harian: Walaupun perhatian terhadap pesakit kanser dan individu yang telah sembuh adalah penting, pegawai kesihatan perlu ingat bahawa penjaga juga mengalami tahap ketakutan yang tinggi terhadap kemungkinan kanser berulang pada orang tersayang mereka dan mungkin memerlukan sokongan psikologi juga.
  4. Saringan sahaja tidak mencukupi: Walaupun saringan untuk ketakutan ini membantu, adalah penting untuk memastikan sokongan psikologi yang sesuai dapat diberikan kepada pesakit dan penjaga.
  5. Berhati-hati terhadap tanda-tanda kebimbangan: Tanda-tanda awal kebimbangan dan perubahan dalam tahap kebimbangan dikaitkan dengan peningkatan ketakutan terhadap kanser berulang pada tahun pertama rawatan. Pantau tanda-tanda kebimbangan dengan kerap dan sediakan sokongan untuk mencegah peningkatan ketakutan ini.

[diterjemahkan oleh Dr Sangeeta Singh]

Join Our Blog

Signup today to get notified when new relevant blog posts are published.

And don’t worry, we hate spam too! You can unsubscribe at anytime.