Intervensi psikologi positif di tempat kerja

Oleh Alexandra Michel, Federal Institute for Occupational Health and Safety, Jerman dan Annekatrin Hoppe, Humboldt Universität, Jerman

Para pekerja menghabiskan sebahagian besar masa mereka di tempat kerja. Tidak mengejutkan bahawa dengan mengurangkan beban kerja dan meningkatkan sumber daya (contohnya, autonomi, sokongan sosial, keberkesanan diri) di tempat kerja adalah penting untuk meningkatkan keseimbangan kerja, kesejahteraan dan kesihatan pekerja. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, penyelidikan bukan sahaja telah mengenal pasti tekanan kerja yang memberi kesan negatif, tetapi juga memperkenalkan cara-cara untuk meningkatkan kesejahteraan pekerja di tempat kerja. Terutamanya dengan memperkenalkan penglibatan psikologi positif di tempat kerja, telah memberi laluan baru dalam bidang psikologi kesihatan pekerjaan. Intervensi psikologi positif memberi tumpuan kepada peningkatan sumber dan mengurangkan  kehilangan sumber, dan termasuk juga aktiviti yang bertujuan untuk memupuk perasaan dan tingkahlaku yang positif dan memperbaiki kognisi. Dalam catatan blog ini, kami mengetengahkan tiga pendekatan yang dapat membantu para pekerja untuk membina sumber mereka dan memupuk kesejahteraan di tempat kerja.

  1. Bagaimanakah saya dapat melihat, mengalami dan menghargai aspek yang lebih positif dalam kerja saya?

Strategi kognitif seperti mengamalkan pemikiran secara optimis dan menghargai pengalaman positif di tempat kerja boleh membantu para pekerja untuk merasai emosi yang positif dan baik. Dalam kajian intervensi kami, kami bertanya kepada para penjaga untuk memikirkan sesuatu peristiwa yang positif dan bermakna yang pernah mereka alami di tempat kerja. Sebagai contohnya satu interaksi positif dengan pesakit, perbualan mesra dengan rakan sekerja ataupun menceritakan tentang kejayaan rawatan yang pernah dialami. Kami meminta para penjaga untuk mencerminkan pengalaman positif ini serta menikmati pengalaman positif mereka ini. Latihan memasang audio yang berulang selama lima minit bagi tempoh sepuluh hari kerja berturut-turut telah digunakan. Selepas tempoh intervensi ini, para penjaga dalam kumpulan intervensi mempunyai tahap keletihan dan keletihan emosi yang lebih rendah berbanding dengan para panjaga di dalam kumpulan kawalan. Khususnya, para penjaga yang memerlukan tahap keperluan yang tinggi untuk pulih, misalnya merasai tahap tenaga yang rendah, mendapat manfaat daripada aktiviti pemikiran positif.

  1. Bagaimanakah saya boleh mendapat tahap tenaga baharu semasa bekerja? Manfaat dari masa rehat.

Tuntutan kerja boleh mengurangkan tenaga pekerja dan mengakibatkan penglibatan tahap kerja yang rendah dan perasaan letih dan penat . Mengambil sedikit masa untuk berehat dari kerja seharian, boleh membantu pekerja mengalihkan perhatian dari tugas mereka bagi mengekalkan dan membina tahap tenaga yang diperlukan. Kami menghasilkan dua aktiviti rehat yang singkat: Aktiviti alam semula jadi yang disimulasikan (contoh., mendengar bunyi alam seperti nyanyian atau nyanyian burung); dan aktiviti pengenduran otot yang progresif. Kami mengklasifikasikan masa rehat singkat ini “sebagai intervensi mikro” yang boleh digunakan di tempat kerja dan memberi pekerja masa rehat yang diperlukan, di mana mereka mengalih perhatian mereka dari tugas kerja. Di dalam kajian kami, pekerja ditentukan secara rawak untuk menjalankan aktiviti alam semula jadi yang disimulasikan atau aktiviti pengenduran otot yang progresif. Hasilnya menunjukkan bahawa kedua-dua istirehat harian pendek ini, yang mudah diperkenalkan ke dalam hari kerja, meningkatkan semangat pekerja dan menurunkan tahap keletihan mereka sepanjang tempoh 10 hari kerja.

  1. Bagaimanakah saya dapat mengurangkan berfikir tentang kerja dan mencari keseimbangan yang baik antara kerja dan kehidupan peribadi?

Pekerja yang sering berfikir dan terlibat secara langsung dengan isu-isu berkaitan dengan pekerjaan walaupun semasa waktu lapang mereka seringkali tidak dapat melupakan soal kerja mereka. Ini boleh menyebabkan keseimbangan kerja-kehidupan yang tidak baik. Mengikut boundary theory kami menghasilkan intervensi yang   membolehkan pekerja mencari cara masing-masing untuk samada menggabungkan atau mengasingkan kedua-dua domain ini. Intervensi atas talian kami mengajar kesedaran minda (mindfulness) sebagai strategi untuk memisahkan kognitif dan emosi. Kesedaran minda menggambarkan satu keadaan di mana kita menyedari pengalaman kita pada masa tu tanpa membuat apa-apa penilaian tentang pengalaman itu.

Dalam intervensi kami, pekerja menilai sendiri strategi segmentasi mereka (iaitu strategi untuk mengasingkan kerja dari kehidupan peribadi mereka) dan mempelajari latihan pernafasan yang boleh membantu mereka fokus pada waktu itu dan melepaskan pemikiran dan emosi yang tidak diingini tentang kerja mereka.

Ini membolehkan pekerja menumpukan pada perkara dan aktiviti yang tertentu (misalnya bermain dengan anak-anak di rumah) dan melupakan kerisauan tentang pekerjaan mereka. Hasil kajian kami menunjukkan bahawa berbanding dengan kumpulan kawalan, pekerja di dalam kumpulan intervensi mengalami kurang keletihan emosi, perasaan negatif dan konflik antara kerja dan keluarga, serta mempunyai lebih kepuasan dengan keseimbangan kehidupan dan kerja mereka.

Kesimpulan

Intervensi untuk refleksi kerja positif, rehat dengan secukupnya dan pengasingan pekerjaan dan kehidupan seharian dapat membantu pekerja membina sumber mereka dan menambahbaik kesejahteraan mereka. Bagi organisasi dan pekerja, kami dapat melihat faedah-faedah berikut: Aktiviti intervensi ini dapat diintegrasikan dengan mudah ke dalam hari kerja semasa rehat yang pendek atau dilakukan pada waktu petang semasa waktu lapang. Ia boleh digunakan untuk semua jenis pekerjaan dan boleh disediakan melalui platform dalam talian, aplikasi telefon pintar atau di atas kertas.

Organisasi dan pekerja harus ingat bahawa pekerja yang mempunyai tugasan yang mencabar (contohnya, beban kerja yang tinggi, tugasan kerja yang memerlukan penglibatan emosi yang tinggi) mendapat manfaat daripada intervensi ini dan kesan jangka panjang dari intervensi ini masih belum diketahui. Akhirnya, intervensi individu ini tidak semestinya menjadi pengganti kepada usaha promosi kesihatan tempat kerja yang lebih komprehensif (contohnya, mengurangkan beban kerja, bengkel teambuilding, latihan kepimpinan) yang bertujuan untuk memperbaiki keadaan kerja secara holistik.

Cadangan praktikal

  • Pada waktu makan tengahari ataupun bila telah selesai kerja, fikirkan tentang sesuatu perkara baik yang telah berlaku pada hari itu Sebagai contoh: perbualan yang baik dengan rakan sekerja, pembentangan yang berjaya, tugasan yang anda nikmati
  • Rancang waktu rehat pendek semasa hari kerja anda untuk mengasingkan diri dari kerja dan cas semula. Gunakannya untuk berehat, bermeditasi atau berjalan-jalan.
  • Cuba lupakan kerja anda. Latihan pernafasan dapat membantu anda untuk memberikan tumpuan kepada pengalaman anda pada waktu itu dan melepaskan pemikiran dan emosi yang tidak diingini.

[translated by Dr Sangeeta Kaur and Mrs. Darlina Fadil Azim]