Bercakap dengan pesakit: Apa yang jelas disebut oleh doktor, dan apa yang jelas tidak difahami oleh pesakit

Oleh Anne Marie Plass, University Pusat Perubatan Göttingen, Germany

Suatu masa dulu, seorang pakar dermatologi yang merawat psoriasis (sejenis penyakit kulit kronik) di sebuah hospital universiti, mengadu kepada saya tentang ramai pesakit-pesakit yang tidak mematuhi terapi yang disyorkan, walaupun matlamat telah ditetapkan bersama, dan keputusan bersama telah dibincang.

Membuat keputusan bersama boleh didefinisikan sebagai “satu pendekatan di mana pakar klinikal dan pesakit berkongsi bukti yang terbaik apabila ingin membuat keputusan,” lazimnya apabila terdapat dua atau lebih pilihan, atau apabila lebih dari seorang yang terlibat. Pesakit dan juga pakar perubatan menyumbang kepada proses membuat keputusan perubatan, dan pesakit diberi sokongan untuk mempertimbangkan semua pilihan untuk mencapai keputusan atau hasil yang diinginkan. Perkongsian keputusan bersama menjadi lebih penting dalam polisi penjagaan kesihatan, di mana penyedia perkhidmatan kesihatan mencuba sehabis baik untuk bertumpukan kepada pesakit. Terutamanya kerana berkomunikasi dengan pesakit melalui cara ini boleh menggalakkan pesakit patuh kepada terapi dan meningkatkan kepercayaan pesakit.

Membuat keputusan bersama adalah berdasarkan rasa hormat dan persefahaman. Pakar perubatan dan pesakit adalah rakan kongsi yang sama dalam proses ini, kedua-duanya menyumbang kepada sesuatu keputusan itu dengan membawa kepakaran dan pengalaman masing-masing. Maka, pakar perubatan menyumbang ilmu dan kepakaran perubatan, dan pesakit pula menyumbang pengetahuan dan kepakaran tentang kehidupan pesakit itu sendiri. Namun, ini tidaklah begitu mudah untuk dilakukan. Walaupun ramai penyedia perkhidmatan kesihatan yang melaporkan yang mereka sedang melakukan ini, data daripada tinjauan pengalaman pesakit menyatakan bahawa ini tidak umumnya berlaku.

Pakar dermatologi yang saya jumpa itu mempunyai tabiat untuk tidak membuat keputusan untuk pesakitnya, tetapi membuat keputusan bersama-sama dengan pesakitnya tentang apakah terapi yang paling sesuai dan terbaik untuk pesakit tersebut. Maka pakar dermatologi itu langsung tidak faham mengapa pesakit-pesakitnya masih tidak bermotivasi untuk mengambil pil seperti yang ditetapkan, walaupun setelah mencadangkan terapi itu berdasarkan pilihan pesakit itu sendiri. Pakar dermatologi itu menjelaskan bahawa cara dia membuat keputusan bersama dengan pesakit adalah apabila pesakit itu masuk, pakar itu memberitahu pesakit itu yang dalam sesi ini mereka akan membuat keputusan bersama mengenai terapi yang sesuai dan mereka akan berbincang bersama tentang pelbagai pilihan terapeutik yang ada.

Kadangkala, pesakit mungkin memerlukan masa untuk memahami maklumat baru dan untuk mempertimbangkan pilihan mereka sebelum boleh membuat keputusan. Ini terutamanya apabila keadaan masa depan mereka tidak diketahui dan mereka mungkin perlu berfikir tentang keadaan masa depan yang mereka tidak pernah alami sebelum ini. Apabila ditawarkan peranan dalam membuat keputusan, ada pesakit yang berasa terkejut atau tidak selesa dengan pilihan yang ada dan tidak pasti tentang apakah pilihan yang terbaik. Memberitahu pesakit  tentang pelbagai pilihan rawatan yang ada dan juga memberitahu bahawa mereka diharapkan untuk membuat keputusan bersama mungkin akan dapat meningkatkan keberkesanan membuat keputusan bersama. 

Untuk membantu pesakitnya membuat keputusan mengenai terapi yang paling sesuai untuk mereka, pakar dermatologi ini memberi cadangan dari segi peratus, contohnya, 10% atau 20%  penambahbaikan, sebagai matlamat akhir. Selepas pesakit memilih peratus yang sesuai dengan mereka, pakar dermatologi akan menjelaskan apakah terapi dan ubat yang diperlukan untuk mencapai matlamat ini, maka dengan cara ini pesakit turut terlibat dalam proses membuat keputusan. Walaupun begitu, pesakitnya masih tidak mematuhi terapi, walaupun mereka yang memilih rawatan yang paling sesuai untuk situasi mereka. Saya bertanya kepada pakar itu samada pesakitnya faham apakah maksud 20%, 30% dll., dan samada pesakit itu ada menyatakan apakah yang diinginkannya dari segi melegakan simptom

Sebahagian daripada kesulitan ini adalah kecenderungan para profesional (kesihatan) untuk menggunakan bahasa yang lazimnya hanya difahami oleh para profesional yang lain. Bahasa perubatan boleh menjadi rumit dan ada bukti menyatakan bahawa hampir separuh dari pesakit-pesakit sukar untuk memahaminya. Istilah dan konsep abstrak akan menyebabkan terjemahan yang pelbagai dan berbeza dan mungkin adalah sangat lain daripada yang dimaksudkan oleh pakar peubatan itu. Tambahan pula, terdapat banyak bukti yang menyatakan item penilaian juga mungkin ketara disalahtafsirkan, ataupun gagal untuk mengukur apa yang diinginkan. Seseorang mungkin menyatakan dalam borang soal selidik itu yang mereka tidak berdaya untuk berjalan 500 meter, tetapi apabila ditanya semasa temubual, mereka mungkin akan mendedahkan bahawa mereka boleh berjalan lebih dari satu jam di kompleks beli belah.

Saya memberitahu kepada pakar dermatologi itu bahawa jika saya pesakit itu, saya akan ingin menetapkan bersalaman sebagai matlamat akhir terapi, atau memakai t-shirt lengan pendek, atau sebagainya. Pakar itu memandang saya dan mula gelak dan berkata betul juga apa yang saya katakan, dan dia tidak terfikir pun macam itu. Tambahan pula, dia tidak sedari bahawa memberitahu pesakit itu pada peringkat awal tentang proses membuat keputusan itu mungkin adalah lebih berkesan.

Oleh itu ia adalah amat penting bagi para profesional untuk peka terhadap pesakit mereka, dan juga peka tentang apa yang difahami oleh pesakit. Ini  bukan hanya untuk pesakit yang mempunyai pemahaman kesihatan yang terhad, tetapi semua pesakit akan mendapat manfaat dari maklumat yang jelas, ringkas dan tidak menggunakan istilah yang rumit. Selain itu, ia adalah sangat penting bagi pakar perubatan berkomunikasi dalam bahasa yang lazim digunakan oleh pesakit, dan menggunakan perkataan yang biasa digunakan oleh pesakit.

Implikasi pengamalan:

  • Meningkatkan penglibatan pesakit dalam proses membuat keputusan dapat meningkatkan juga kepatuhan pesakit kepada rejimen terapeutik dan hasil rawatan
  • Sentiasa cuba ekspresikan diri anda dalam perkataan yang lazim digunakan oleh pesakit (cth. elak istilah perubatan)
  • Perlu diingat bahawa walaupun apa yang anda katakan adalah sangat jelas untuk anda, salah faham masih boleh berlaku. Oleh itu, sentiasa periksa pemahaman pesakit.
  • Berikan pesakit masa dan maklumat yang berguna dan senang difahami; pastikan anda cukup bersedia untuk perundingan dengan pesakit.
  • Maklumkan pesakit dari awal apa yang diharapkan daripada mereka bila membuat keputusan bersama tentang rawatan mereka

Translated by Darlina Hani Fadil Azim

https://www.researchgate.net/profile/Darlina_Fadil_Azim