Gertakan bukanlah cara yang betul

Fear is a bad counsellor

Dr Gjalt-Jorn Peters, Open University, Netherlands

Diterjemahkan oleh Nur Arfah Zaini.

Secara lazimnya, unsur gertakan digunakan sebagai strategi untuk mengubah kelakuan. Sebagai contoh, penyampaian mesej dengan penggunaan grafik yang menakutkan di atas kotak rokok; dan ayat-ayat ugutan yang digunakan di dalam kempen mempromosikan penggunaan tali pinggang keselamatan dan mengelakkan penyalahgunaan bahan yang mengakibatkan ketagihan. Walaupun kaedah gertakan (bertujuan untuk menerbitkan rasa takut) ini popular dan digunakan secara meluas, kajian menunjukkan bahawa ia mungkin bukan cara yang paling baik untuk mengubah kelakuan, meningkatkan kepekaan mahupun mengajar manusia.

Pengunaan Gertakan

Satu sebab taktik gertakan sering dipilih untuk kempen kesihatan awam ialah manusia selalu berfikir bahawa mereka tahu bagaimana orang lain bertingkahlaku. Mereka fikir bahawa apa yang menghalang diri mereka dari melakukan sesuatu yang bahaya, adalah sama dengan perkara yang menghalang orang lain dari melakukannya juga. “Kalaulah orang tahu risikonya..”

Ya, memang risiko kelakuan yang tidak sihat sering diperkatakan di dalam media, melalui sistem persekolahan dan rangkaian sosial. Adakah kempen ini tidak menjangkau mereka yang berisiko? Atau adakah mesej tersebut tidak cukup mencabar atau berkuasa untuk mengubah mereka?

Kita berpendapat bahawa mesej yang lebih mencabar atau menakutkan sepatutnya dapat menjangkau mereka, mencabar mereka tentang risiko akan kelakuan mereka dan membuatkan mereka berfikir berulang kali sebelum mencuba merokok atau methamphetamine (dadah). Dan sememangnya, sekiranya anda tanya kebanyakan orang – apa yang mungkin dapat menghalang mereka dari melakukan sesuatu yang tidak sihat, ini adalah jawapan yang paling kerap.

Walaubagaimanapun, sudah lama kita tahu bahawa cara introspektif ini ada kekurangannya: orang tidak selalunya tahu punca atau sebab mereka berkelakuan sedemikian rupa. Adalah penting untuk bertanya dengan sasaran populasi tentang kerasionalan mereka melakukan (atau tidak melakukan) sesuatu. Ini kerana, ia bermanfaat. Penglibatan mereka di dalam proses intervensi juga penting demi mencapai kejayaan. Bagaimanapun, orang kebanyakan tidaklah mahir dalam teknik perubahan tingkah laku, dan mereka tidak patut dipertanggungjawabkan dengannya.

Selain daripada tarikan intuitif dalam penggunaan komunikasi ugutan/gertakan, sebab lain ia popular ialah ia “kelihatan” seperti kurang mempunyai pilhan lain (perceived lack of alternatives). Tidak semua perangka intervensi dan agensi pengiklanan mengetahui tentang protokol rangkaan intervensi seperti Pemetaan Intervensi, atau senarai teknik perubahan tingkahlaku yang ada.

Maka, adalah difahami bahawa perangka intervensi selalunya menggunakan gertakan dan ugutan di dalam usaha mempromosikan bab kesihatan, kerana ia mudah didapati dan berdasarkan logik akal. Tetapi, mengapakah ini menjadi satu masalah?

Tidak ada apa yang perlu ditakuti melainkan perasaan takut itu sendiri

Masalahnya ialah manusia tidak selalunya berkelakuan secara rasional, dan evolusi tidak menyediakan kita untuk berhadapan dengan apa yang sedang kita lakukan masa kini. Satu perkara yang manusia secara umumnya bagus adalah mengekalkan imej diri yang positif. Dan salah satu cara kita melakukannya ialah dengan mengubah persepsi kita.

Walaupun kita sebenarnya berminat untuk mengetahui tentang risiko, jika keadaan tidak sesuai, kita mungkin tidak mempedulikan maklumat berkenaan risiko tersebut. Perkara ini tidak menjadi masalah untuk kelakuan yang mudah – contohnya; amaran untuk tidak makan daging ayam mentah lebih mudah dipatuhi. Masalah persepsi diri selalunya timbul untuk kelakuan yang lebih kompleks.

Berhenti merokok secara lazimnya adalah sukar: malah, kebanyakan penghisap rokok mahu berhenti, dan apabila mereka fikir mereka tidak boleh lari dari ancaman, imej diri mereka terancam. Hakikatnya, ia bukanlah satu perkara yang menyeronokkan melibatkan diri di dalam sesuatu yang memusnahkan diri, dan tahu akan bahayanya. Oleh itu, manusia mempunyai pelbagai cara untuk menjadikan diri mereka kurang peka terhadap risiko. Apabila seseorang itu tidak yakin bahawa mereka boleh mengelakkan diri dari ancaman, mereka mempertahankan diri mereka untuk mengekalkan imej diri: samada dengan tidak mempedulikan risiko atau dengan memfokuskan terhadap aspek positif imej diri mereka. Contohnya, seorang perokok mungkin menyatakan bahawa neneknya yang merokok 2 pek setiap hari selama 40 tahun masih lagi sihat (“Merokok tidak membahayakan”); atau memberi justifikasi bahawa mereka bersenam sebanyak lima kali seminggu atau makan makanan sihat setiap hari (“Saya adalah seorang yang mengamalkan gaya hidup sihat”). Reaksi mempertahankan diri (defensive) sebegini membantu manusia untuk mengekalkan imej positif diri yang mengakibatkan mereka meneruskan kelakuan merbahaya.

Dinamik ini telah dikaji selama lebih dari 60 tahun. Walaubagaimanapun, isu ini masih dikatakan penuh kontroversi. Untuk menyelesaikan perkara ini, pasukan pengkaji kami telah membuat penilaian kritikal terhadap semua kajian yang berkaitan. Kami mengkaji mengapa ada sebahagian kajian mendapati bahawa komunikasi ugutan berkesan, dan sebahagian kajian lain (selaras dengan teori-teori psikologi) tidak berkesan.

Di dalam kajian lepas, kami mendapati bahawa penggunaan gertakan berjaya mengubah kelakuan hanya apabila digunakan bersama intervensi yang meningkatkan keyakinan individu untuk membuang ancaman. Di dalam perkataan yang lain, teknik gertakan ini hanya berkesan ke atas individu yang fikir mereka boleh mengelakkan ancaman. Apabila individu tidak yakin bahawa mereka boleh berubah untuk mengelakkan sesuatu ancaman, tetapi masih juga diancam – bukan sahaja mesej gertakan ini tidak berkesan, malah boleh memakan diri. Sekiranya mengancam atau konfrontasi tidak mampu mengubah kelakuan manusia, apa yang boleh?

Cadangan Praktikal:

  • Apabila mahu mengubah kelakuan, mulakan dengan mengenalpasti sebab (penentu) kelakuan tersebut. Adakah penentu tersebut ialah risiko terhadap persepsi, mematuhi norma sosial atau kurang kemahiran?
  • Kemudian kenal pasti cara yang sesuai untuk mengubah penentu (determinants) tersebut (lihat senarai ini dan panduan praktikal ini)
  • Sekiranya akhirnya anda memilih komunikasi berbentuk ancaman atau gertakan, pastikan:
    • Kumpulan sasaran anda yakin bahawa mereka boleh berkelakuan yang diingini – percaya terhadap keberkesanan diri (high self efficacy), atau;
    • Intervensi anda mengandungi satu atau lebih komponen berkesan yang mampu meningkatkan kepercayaan terhadap keberkesanan diri (self-efficacy) ke satu tahap yang baik.